Pharmaniaga tunggu NPRA lulus Sinovac untuk individu bawah 18 tahun

Zulkarnain (tengah) ketika ditemui di ibu pejabat Pharmaniaga di sini pada Jumaat.
Zulkarnain (tengah) ketika ditemui di ibu pejabat Pharmaniaga di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), anak syarikat Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), yang merupakan pembekal vaksin Sinovac di Malaysia akan menghantar 'dossier' kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk membenarkan penggunaan vaksin tersebut kepada individu berusia bawah 18 tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, ia susulan pihaknya telah menerima data bahawa vaksin tersebut selamat digunakan untuk individu dalam lingkungan umur tersebut.

"Setakat ini ada tiga vaksin yang dibenarkan untuk diguna bagi individu berusia 18 tahun kebawah iaitu Pfizer, Sinovac dan Sinopharm.

"Paling kurang kesan sampingan untuk peringkat umur berkenaan adalah Sinovac dan Sinopharm.

"Malah, China dan Indonesia sudahpun mula gunakan Sinovac untuk vaksinasi individu berumur bawah 17 tahun," katanya ketika ditemui ibu pejabat Pharmaniaga di sini pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata, tiada janji temu diberikan kepada kumpulan umur bawah 18 tahun ketika ini meskipun pendaftaran bagi kumpulan umur berkenaan sudah diterima oleh sistem MySejahtera.

Jelas CITF, ia bagi mengelakkan sebarang risiko kes miokarditis dan perikarditis (radang jantung) selepas seorang remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 seperti yang didedahkan dalam satu kajian di Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan: