X

Kindly register in order to view this article
!

Ribut: 353 buah rumah terjejas dibaik pulih minggu depan

Rasman membantu program Gotong-Royong Perdana Bencana Alam Sedili membersihkan 366 rumah penduduk yang rosak dipukul ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
A
A

KOTA TINGGI - Kerja-kerja membaik pulih 13 daripada 366 buah rumah di tujuh kawasan yang rosak akibat ribut di Tanjung Sedili, Jumaat lalu sudah pun bermula sejak Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, proses membaik pulih 13 rumah itu perlu dilakukan segera kerana mengalami kerosakan teruk dengan kos dibiayai Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

"Kerja-kerja membaik pulih baki 353 rumah lagi akan dimulakan pada minggu depan yang akan dibiayai pihak Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Pejabat Daerah dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

"Ketika ini proses untuk mengetahui kos tersebut sedang dilakukan sebelum dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). Selepas itu kerja-kerja akan dimulakan pada Ogos," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai gotong-royong perdana Bencana Alam Sedili di Sedili Besar di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 3 petang Jumaat lalu, hujan lebat dan angin kencang merosakkan 366 rumah terutama di bahagian atap dan garaj kereta.

Kampung yang terlibat adalah Kampung Sri Gading; Kampung Teluk Jeri; Kampung Teluk Jeri Luar; Kampung Teluk Jeri Dalam; Kampung Tanah Putih; Taman Sedili dan Kampung Sedili Besar selain klinik, balai polis, sekolah dan Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Ribut berkenaan turut mengakibatkan lebih 20 pokok tumbang sehingga menutupi laluan jalan raya namun tiada kecederaan melibatkan mangsa.

Rasman berkata, kerosakan pada bahagian Sekolah Kebangsaan (SK) Sedili Besar pada bahagian bumbung termasuk Perumahan Polis (APR) dalam Balai Polis Kuala Sedili sudah pun siap dibaiki pada Khamis.

Sementara sebuah sekolah agama yang turut rosak katanya, akan turut dibaik pulih dalam masa terdekat.

Mengenai program gotong-royong itu, beliau memberitahu, sudah berakhir pada Jumaat dengan melibatkan kakitangan Pejabat Daerah Kota Tinggi, MDKT, Kejora, Felda, polis, bomba dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!