X

Kindly register in order to view this article
!

Solution Group akan bekal vaksin CanSino di Malaysia

A
A

KUALA LUMPUR - Anak syarikat milik penuh Solution Group Bhd (SGB), Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO) menandatangani perjanjian produk akhir serta perjanjian produk pukal dengan CanSino Biologics Inc untuk pembekalan vaksin ‘Recombinant Ad5-nCoV’ bagi pengunaan dalam usaha mengekang Covid-19, pada Jumaat.

Dalam kenyataan, SGB menjelaskan perjanjian produk akhir itu membolehkan SOLBIO membeli manakala CanSino membekalkan vaksin produk akhir bagi kegunaan kecemasan di Malaysia.

Perjanjian pukal pula membolehkan CanSino membekalkan bahan farmaseutikal aktif tersebut, untuk proses pengisian dan pembotolan, kepada SOLBIO dengan kedua-dua perjanjian tersebut bertempoh 10 tahun berkuat kuasa serta-merta, menurutnya.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, penghantaran pertama bagi dos-dos yang telah siap akan dilaksanakan pada Ogos dan kumpulan seterusnya juga mengikut jadual.

“Vaksin CanSino merupakan vaksin satu dos dan ini menjadikannya lebih efisien untuk diberikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pendalaman, dengan penjimatan dari segi logistik dan sumber lain yang diperlukan untuk digerakkan dalam program vaksinasi di seluruh negara,” katanya.

Menerusi pemeteraian kedua-dua perjanjian itu, SOLBIO boleh memenuhi obligasinya untuk membekalkan 3.5 juta dos vaksin Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menerima pesanan tambahan daripada KKM, kerajaan negeri, sektor swasta dan negara ASEAN lain.

Di samping itu, SOLBIO akan mempunyai kapasiti untuk membekalkan dos penggalak, jika ia diperlukan bagi mereka yang telah lengkap disuntik dengan vaksin Covid-19 lain.

“Berlandaskan perjanjian bekalan itu, kami yakin dapat memenuhi lebih daripada keperluan semasa kerajaan.

“Kami juga positif bahawa bekalan vaksin yang dikenali sebagai Convidecia ini akan membantu mempertingkatkan kadar pemvaksinan di Malaysia secara ketara ke arah mencapai sasaran pantas kerajaan dalam mengimunkan keseluruhan penduduk di negara ini daripada jangkitan Covid-19 pada Oktober 2021,” katanya.

Beliau berkata perjanjian produk pukal akan membolehkan SOLBIO melakukan proses pengisian dan pembotolan serta pembekalan di Malaysia, Filipina, Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos, Brunei dan Singapura.

CanSino turut membenarkan SOLBIO untuk memajukan perniagaan bagi vaksin tersebut di negara-negara berkenaan menerusi kerjasama dengan rakan kongsi tempatan, pihak berkuasa dan badan pengawalseliaan berkaitan.

Mohd Nazlee berkata, tumpuan utama pihaknya adalah memenuhi bekalan KKM, yang telah ditandatangani pada awal April 2021 dan dijangka selesai pada Oktober 2021.

SGB turut merancang memperluas pengedaran vaksin tersebut ke negara-negara ASEAN lain.

“Kami dalam perbincangan dengan kerajaan Thailand dan Filipina untuk membekalkan vaksin dan menjangkakan kelulusan kegunaan kecemasan diperoleh pada Ogos dengan kami menyasar untuk membekalkan lima hingga 10 juta dos kepada setiap negara.

SGB juga berada di landasan baik dengan pemasangan kemudahan pengisian dan pembotolan untuk pengeluaran vaksin itu di Malaysia manakala kemudahan pengisian dan pembotolan di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil di sini akan memulakan pengeluaran bulan depan, dengan mencapai sehingga tiga juta dos sebulan.

“Kami sedang mengaturkan untuk audit Amalan Pembuatan Baik (GMP) oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada Ogos dan apabila persijilan GMP diterima, kami akan mempercepat pengeluaran vaksin sebaik mungkin,” katanya.

SOLBIO memperoleh kelulusan bersyarat bagi vaksin Covid-19 untuk kegunaan kecemasan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia pada Jun 2021 dan vaksin itu juga diluluskan bagi kegunaan kecemasan di China, Chile, Mexico, Pakistan, Hungary, Ecuador dan Argentina. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!