Ketua DAPSY Sabah buat laporan polis terhadap Muhyiddin, Takiyuddin

Jin Zhe (kiri) bersama Ewon menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin dan Takiyuddin di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu.
Jin Zhe (kiri) bersama Ewon menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin dan Takiyuddin di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sabah, Phoong Jin Zhe membuat laporan polis terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Eksekutif Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa membelakangkan dan berbohong kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Menurut Jin Zhe, laporan polis itu dibuat supaya tindakan dapat diambil terhadap kedua-dua pemimpin terbabit susulan kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara pada Khamis.

"Kita anggap ini sesuatu yang tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan tidak patut, kita minta siasatan diambil terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan hari ini. Pada pendapat kami, tindakan ini adalah jelas bercanggah dengan Seksyen 124B Kanun Keseksaan dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Jadi, saya bersama dengan rakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Istana Negara yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong menzahirkan perasaan amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu oleh pihak Kerajaan Persekutuan mengenai kedudukan Ordinan Darurat, " katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, pada Jumaat.

Jin Zhe yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang percaya bahawa kenyataan Takiyuddin itu menunjukkan beliau gagal menghormati Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa pembatalan Ordinan Darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150(2B) bersama 150(3).

"Jelas, pihak kerajaan pimpinan Muhyiddin telah mengelirukan, membohongi dan membelakangi Yang di-Pertuan Agong serta Dewan Rakyat.

"Selain itu, kami juga mengambil pendirian bahawa Muhyiddin bersama seluruh kabinetnya perlu meletak jawatan kerana beliau hilang moral dan kredibiliti untuk terus mentadbir," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang hadir bersama pimpinan DAPSY menyatakan sokongan beliau terhadap laporan polis itu sekali gus mengulangi pendirian supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri bersama anggota kabinetnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Muhyiddin dan kabinetnya jelas membelakangi Yang di-Pertuan Agong dalam mengurus tadbir pembatalan Ordinan Darurat, ketepikan titah Agong supaya Ordinan tersebut dibentang, dibahas dan diputuskan di Parlimen.

"Kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri petang semalam (Khamis) seolah-olah memberi gambaran bahawa Yang di-Pertuan Agong pula yang telah melakukan kesilapan.

"Ini memberi implikasi besar kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya.