JKKP mulakan siasatan segera tapak projek LRT3: KSM

Anggota JBPM sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut dalam kejadian pada jam 2.41 petang Khamis.
Anggota JBPM sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut dalam kejadian pada jam 2.41 petang Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengarahkan pasukan pegawai penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan serta JKKP Selangor memulakan siasatan segera susulan insiden runtuhan perancah besi struktur pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

KSM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan siasatan komprehensif itu melibatkan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Bahagian Keselamatan Tapak Bina JKKP bagi mengenal pasti punca kejadian.

Siasatan juga bertujuan menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Perancah besi struktur binaan runtuh, seorang mangsa tertimbus

Akta 514 memperuntukkan setiap majikan perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja termasuk keselamatan orang awam yang berada di tempat kerja di bawah kawalannya.

KSM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius terhadap setiap insiden kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan.

Pada Khamis, seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut manakala empat lelaki dalam lingkungan umur 30-an cedera ringan selepas perancah besi itu runtuh di tapak pembinaan LRT3 di Bandar Bukit Tinggi, Klang. - Bernama

Artikel Berkaitan: