Jangan hanya bergantung kepada sistem MySejahtera

Gambar kecil: Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew
Gambar kecil: Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan tidak boleh bergantung semata-mata kepada sistem MySejahtera bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin Covid-19 kepada orang awam.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, sebaliknya kerajaan digesa mempergiatkan pemberian vaksin kepada rakyat dengan mempelbagaikan kaedah dan pendekatan digunakan.

Kok Yew memberitahu, hal ini kerana proses notifikasi vaksinasi diterima melalui MySejahtera adakalanya lambat sehingga penduduk tidak sempat untuk membuat persediaan.

"Disebabkan itu, ada penduduk tidak sempat menyediakan kemudahan pengangkutan bagi mereka yang tiada kenderaan dan ada yang tidak menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Selain itu, saya juga menerima banyak aduan mereka (orang Kedah) mendapat janji temu vaksinasi di negeri lain, termasuk di Perak, Selangor, Sabah dan terbaharu di Perlis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Kok Yew berkata, terdapat juga laporan mengatakan lebih 100 orang tidak hadir janji temu vaksinasi di Langkawi selain peratusan vaksinasi yang masih rendah iaitu 21.6 peratus

Katanya, ketidakhadiran lebih 100 individu untuk proses vaksinasi turut menimbulkan persoalan sama ada mereka itu adalah penduduk Pulau Langkawi atau sebaliknya.

Beliau turut berpendapat beberapa isu yang timbul seperti notifikasi vaksinasi mencerminkan kepada pengurusan yang gagal dalam menguruskan hal vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir sekiranya masalah ini terus berlaku, adalah lebih baik kita bertukar kepada cara manual atau membuat janji temu setempat.

"Cara ini lebih berkesan untuk kawasan pendalaman dan warga-warga yang tidak dapat bergerak bebas khususnya suri rumah, orang tua, golongan uzur, individu yang tiada pengangkutan dan sebagainya," katanya.

Justeru, pihaknya menyarankan supaya tumpuan diberikan kepada lokaliti setempat bagi memastikan tiada yang terpinggir untuk menerima suntikan vaksin itu.

"Sebagai contoh, kita sediakan pusat vaksinasi sementara atau bergerak di Kampung Kuala Teriang, kemudian aturkan bersama wakil penduduk atau ketua kampung tempat dan masa untuk mereka hadir janji temu vaksinasi.

"Pada masa sama, pendaftaran dan suntikan dilakukan agar tiada pembaziran serta tiada pihak yang ketinggalan, Jadi dengan ini sasaran vaksinasi dapat mencapai sasaran dan penduduk mendapat suntikan," katanya

Dalam perkembangan lain, Kok Yew berkata, beliau mendapati Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ada mengeluarkan kenyataan bahawa lebihan vaksin di Langkawi boleh dipindah dan digunakan di tanah besar.

Menurutnya, perkara itu merupakan berita baik buat penduduk di tanah besar bagaimanapun ia dilihat kurang adil kepada orang Langkawi memandangkan peratusan vaksinasi masih lagi rendah berbanding dengan sasaran untuk membuka Langkawi kepada pelancongan.

Tambahnya, Muhammad Sanusi perlu memastikan pasukan pemberian vaksin di Langkawi ditertingkatkan supaya prosesnya dapat dipercepatkan untuk mencapai sasarannya.