Pembatalan Ordinan Darurat tidak jejaskan perjalanan Akta 342

Pembatalan Ordinan Darurat seperti diumumkan di Parlimen Isnin lalu tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit. Foto hiasan
Pembatalan Ordinan Darurat seperti diumumkan di Parlimen Isnin lalu tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pembatalan Ordinan Darurat seperti diumumkan di Parlimen Isnin lalu tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya berkata, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan KawasanTempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No. 2) 2021 [P.U. (A)

313/2021] dibuat di bawah subseksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

"Perintah ini untuk melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuatkuasa pada 18 Mac 2020 dan telah dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos sehingga ke 31 Disember 2021," kata kementerian itu pada Jumaat.

Menurut KKM, kuatkuasa perintah tersebut yang sebelum ini dilanjutkan bagi tempoh 1 April hingga 1 Ogos 2021 menetapkan bahawa semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan.

"Dengan berkuat kuasanya perintah ini, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

"Selain itu, perintah ini juga berkuatkuasa bersama dengan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan, antaranya, Arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

KKM berkata, perintah ini mahupun Proklamasi Darurat telah diwartakan dan menjadi dokumen awam yang boleh diakses melalui portal Jabatan Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, semua pihak diminta agar tidak membuat tafsiran yang tersendiri dan tidak tepat mengenai perintah ini bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan telah membatalkan pelaksanaan enam Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.

Ordinan tersebut dilaksanakan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dikuatkuasakan dalam usaha menbendung penularan Covid-19.