Nor Afiqah masih belum ditemui

Kehilangan Nor Afiqah menimbulkan tanda tanya keluarga.
Kehilangan Nor Afiqah menimbulkan tanda tanya keluarga.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha makanan, Nor Afiqah Mohd Khiruddin, 25, yang dilaporkan hilang dari kediaman di Bandar Tun Razak sejak Sabtu lalu masih belum ditemui.

Abangnya, Mohd Hafizuddin Mohd Khairuddin, 28, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejaki Nor Afiqah namun sehingga kini belum menemukan sebarang petunjuk atau perkembangan.

Menurutnya, mereka sekeluarga terus melakukan pencarian sekitar Bandar Tun Razak dan Tasik Permaisuri dengan harapan anak kedua daripada lima beradik itu ditemui dalam keadaan selamat.

"Selain itu, kami juga ada dapatkan beberapa pertolongan daripada ustaz-ustaz yang mahir dalam bidang ruqyah untuk bantu cari adik.

ARTIKEL BERKAITAN: Nor Afiqah hilang dengan berbaju tidur

"Ada beberapa info yang diberikan mereka tapi kami masih belum berjaya mengesan Nor Afiqah sehingga kini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan berita Nor Afiqah hilang dengan berpakaian tidur menimbulkan tanda tanya kepada keluarganya yang gagal menjejaki wanita berkenaan.

Mohd Hafizuddin berkata, dia menolak dakwaan Nor Afiqah lari daripada rumah kerana mengikut teman lelaki atau keluar rumah disebabkan masalah keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Dia tiada teman lelaki dan kalau lari ikut teman lelaki pun takkan keluar rumah tanpa bawa telefon atau tinggalkan dompet. Dia hilang sehelai sepinggang tanpa bawa apa-apa.

"Kami adik beradik pun tiada sebarang masalah atau salah faham. Sebelum kejadian kami baik-baik saja, bergelak tawa. Malam sebelum dia hilang pun, tidak ada sebarang pertelingkahan antara ahli keluarga dengan dia," katanya.

Dia berharap adiknya ditemui dalam keadaan selamat atau pihak yang melarikan Nor Afiqah memulangkan kembali wanita tersebut ke pangkuan keluarga.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Mohd Hafizuddin di talian 017-569 4982.