X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Jenazah dari Hospital Serdang kebumi di Raudhatul Baqi

Gambar kecil: Abd Hamid Hussain
A
A

SHAH ALAM - Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi di Cyberjaya dijadikan lokasi pengebumian jenazah mangsa Covid-19 dari Hospital Serdang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkannya ketika lawatan rasminya ke Hospital Serdang baru-baru ini.

“Perkhidmatan pengurusan yang disediakan di tanah perkuburan ini adalah menerima permohonan pengebumian, pengurusan jenazah, pengawasan dan penyelenggaraan tanah perkuburan.

“Waktu operasi pengebumian bermula dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari. Pengebumian di luar waktu operasi hanya dijalankan berdasarkan kes tertentu dengan kebenaran pihak pengurusan MPS,” katanya melalui perutusan Mesyuarat Ahli Majlis MPS Bil 7/2021 seperti dilaporkan SelangorKini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abd Hamid berharap tanah perkuburan di bawah Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat itu dapat mengurangkan masa pengurusan mayat selain mengelak kesesakan di Jabatan Forensik Hospital Serdang.

“Tanah perkuburan seluas 4.67 ekar dengan sembilan zon mampu memuatkan lebih 1,500 unit kubur termasuk untuk dewasa, kanak-kanak dan kubur anggota badan,” katanya.

Pada 17 Julai, kerajaan Selangor bersetuju Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang dijadikan tempat khusus pengurusan jenazah Covid-19 bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.

Selain itu, tanah perkuburan bagi jenazah mangsa Covid-19 beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Jenazah mangsa bukan Islam pula dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pengebumian dan urusan krematorium bersesuaian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!