Presiden Pas dakwa penguasaan kerajaan PN akan dicabar

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pas meminta semua pihak bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan khususnya rancangan menyingkirkan Islam yang terjadi di beberapa negara supaya tidak berlaku di negara ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, di Malaysia, penguasaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menunjukkan perubahan positif ketika ini sudah tentu akan dicabar kerana kerajaan kini didominasi umat Islam.

Menurutnya, keadaan itu sudah tentu menimbulkan kebimbangan beberapa pihak terhadap usaha kerajaan dalam menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.

"Maka, sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara.

"Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara," katanya dalam tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebooknya, pada Jumaat.

Menurutnya, walaupun penjajah sudah pulang ke negara masing-masing tetapi agenda penjajahannya masih tetap berlangsung hingga hari ini dengan meninggalkan pengaruh dalam politik, ekonomi dan budaya.

Walaupun kini negara menyaksikan semula kebangkitan semula Islam dan merudumnya kekuatan negara besar penjajah, Abdul Hadi memberitahu bahawa penjajah tetap menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuklah di Malaysia.

Beliau turut memberitahu bahawa beberapa negara seperti Tunisia terkini sedang berdepan kemelut politik yang mengesahkan telahan banyak pihak bahawa hanya kerajaan Islam sekular yang diizinkan bergerak, manakala sebarang perubahan yang menunjukkan hala tuju untuk kembali ke arah Islam akan dihalang.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga di Turki katanya, pernah berlaku satu usaha rampasan kuasa di Turki yang telah gagal tetapi modus operandinya pada hari ini adalah tetap sama dengan tujuan menyekat kemaraan Islam.

Bagaimanapun katanya, musuh hanya berjaya menjatuhkan kerajaan Mesir yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui demokrasi yang sebenar.

"Pada masa yang sama, hendaklah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara yang disebutkan di atas, gagal dibawa masuk ke negara kita. Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran.

"Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali," katanya.