'Port' lepas gian di kandang kambing kena serbu

Individu yang ditahan di lokasi
Individu yang ditahan di lokasi
A
A
A

JEMPOL - Polis berjaya menahan 16 suspek termasuk seorang wanita berusia 25 tahun di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran kandang kambing pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, kesemua ditahan dalam Ops Sarang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

"Polis awalnya membuat intipan di kebun kelapa sawit Felda Palong 2 mendapati seorang lelaki duduk mencangkung dalam keadaan mencurigakan seperti tokan dadah.

"Menyedari kehadiran pasukan polis, lelaki tersebut cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan dan asil pemeriksaan, polis menjumpai satu bekas berwarna kuning di atas tanah yang mengandungi satu paket plastik berisi bahan disyaki dadah anggaran berat 16.0 gram, satu tiub straw berisi bahan disyaki dadah anggaran 0.5 gram dan dua paket plastik kecil berisi bahan disyaki dadah seberat 0.4 gram," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhd Nurhishamuddin berkata, selepas 30 minit, muncul seorang lelaki memasuki 'port' tersebut dengan menunggang motosikal EX5.

"Terkejut dengan kehadiran polis, bagaimanapun dia tidak sempat melarikan diri.

"Polis menjumpai sebuah kotak berwarna hitam yang diikat dengan gelang getah pada badannya yang berisi dua paket plastik dengan bahan disyaki dadah syabu seberat 0.5 gram," katanya.

14 individu termasuk seorang wanita turut ditahan selepas itu setelah dipercayai ke lokasi untuk mendapatkan bekalan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua yang ditahan berumur antara 24 hingga 46 tahun dibawa ke IPD Jempol untuk tindakan selanjutnya.

Polis turut menyita motosikal Honda EX5 tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(3) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.