ADUN serah 25 mesin oksigen bantu pesakit Covid-19

Simon (empat dari kiri) ketika hadir ke HSAH bagi menyerahkan mesin bantuan oksigen pada Khamis.
Simon (empat dari kiri) ketika hadir ke HSAH bagi menyerahkan mesin bantuan oksigen pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 25 unit mesin bantuan oksigen bernilai kira-kira RM82,000 untuk pesakit Covid-19 diserahkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min berkata, sumbangan itu adalah hasil kempen kutipan derma bagi pembelian mesin 'oxygen concentrator' berikutan jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan oksigen semakin bertambah khususnya di Sungai Petani.

Menurutnya, pelancaran kempen berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di mana lebih kurang 200 penyumbang memberikan komitmen dalam masa singkat dengan jumlah kutipan mencecah RM80,340.

"Pusat Khidmat ADUN Bakar Arang telah melancarkan kempen kutipan derma pada minggu lalu dan berjaya membeli 25 unit mesin oksigen di mana selebihnya kita tambah sedikit dana untuk cukupkan perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat serahan fasa pertama mesin bantuan oksigen kepada HSAH Sungai Petani pada Khamis.

Simon (kanan) ketika hadir ke HSAH bagi menyerahkan mesin bantuan oksigen pada Khamis.
Simon (kanan) ketika hadir ke HSAH bagi menyerahkan mesin bantuan oksigen pada Khamis.

"Hari ini kami buat serahan sebanyak 15 unit bagi fasa pertama memandangkan bekalan di pasaran tidak mencukupi manakala bakinya akan diserahkan pada minggu hadapan.

"Kami ucapkan terima kasih kepada penyumbang dan berharap sumbangan 'oxygen concentrator' ini dapat membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa pesakit Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Simon berkata, menyedari hakikat jumlah kematian pesakit Covid-19 yang semakin meningkat sekali gus menunjukkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen perlu dibantu.

"Kita juga sedar peralatan mesin oksigen di hospital tidak mencukupi di mana penggunaan katil hospital juga sudah penuh serta melebihi kapasiti maksimum tetapi bilangan kakitangan masih sama.

"Kita tidak mahu membebankan petugas barisan hadapan untuk memilih siapa yang patut diselamatkan sedangkan tidak mempunyai kelengkapan mencukupi apabila pesakit semakin ramai," katanya.

Beliau menjelaskan, inisiatif itu juga berdasarkan saranan daripada Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggalakkan semua wakil rakyat membantu pasukan barisan hadapan dengan menyumbang lebih banyak alat bantuan perubatan.

Justeru, beliau turut mengharapkan agar program vaksinasi kepada majoriti penduduk berjalan lancar dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 dari terus menular.