HDC, Institut Industri Halal Korea meterai MoU

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Halal Development Corporation Bhd (HDC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Industri Halal Korea (KIHI) pada Jumaat bagi menggalakkan pengeluaran halal serta mempertingkat perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim (MFHS).

Ini juga sekali gus dapat memperkukuh usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat pembangunan ekosistem halal.

Pemeteraian MoU itu merupakan perkembangan penting bagi ekosistem halal Malaysia sejajar dengan usaha membabitkan penekanan peranan sektor swasta dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara ini.

Dalam kenyataan pada Jumaat, HDC yang juga agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kerjasama dengan KIHI -- badan yang ditubuhkan dengan sokongan Kementerian Pertanian, Makanan dan Luar Bandar bagi pembangunan industri halal Korea, juga memaparkan perkongsian dan inisiatif strategik.

“Inisiatif ini menghimpunkan entiti tempatan serta asing bagi memastikan kesemua pihak dapat meraih manfaat daripada perkongsian maklumat perniagaan, amalan terbaik industri dan pengembangan pasaran bagi Malaysia serta Republik Korea (ROK),” katanya.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif KIHI Dr James Noah serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Norazman Ayob bersempena penyertaan secara maya HDC dalam acara Seoul Food & Hotel 2021.

Acara itu telah disiarkan secara dalam talian menerusi siri webinar Persidangan Perniagaan Halal Dunia 2021.

Sementara itu, Norazman berkata, produk halal dan MFHS mendapat permintaan kukuh berikutan kehadiran pengunjung Muslim ke negara-negara bukan Islam seperti Jepun, China dan ROK atau Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

“Pada 2019 misalnya, jumlah pelancong Muslim ke ROK mencecah lebih sejuta orang yang disusuli dengan usaha Pertubuhan Pelancongan Korea menggunapakai standard infrastruktur MFHS Malaysia.

“Kami berharap kerjasama strategik ini dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan dalam kalangan penggiat industri dengan sasaran lebih 170 syarikat Korea dalam tempoh dua tahun merangkumi restoran dan spa selain menjadikan Malaysia sebagai rujukan bagi tujuan latihan dan nasihat MFHS,” katanya.

Selain itu, sejumlah 120 syarikat Korea berpeluang mendapat pensijilan MFHS dalam pengurusan perniagaan dan menjadikan syarikat itu sebagai bakal rakan niaga untuk syarikat dari Malaysia.

Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti selain melonjakkan pengantarabangsaan industri halal dalam sektor nilai tambah yang khusus.

Kerjasama HDC dan KIHI juga akan membolehkan pemindahan teknologi serta pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan memandangkan kedudukan ROK sebagai antara negara yang mempunyai rangkaian institusi penyelidikan bertaraf dunia. - Bernama