Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$111.1 bilion

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

ASET rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$111.1 bilion (AS$1=RM4.2350) manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$732.2 juta pada akhir Jun 2021, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan pada Jumaat, bank pusat itu berkata butiran terperinci rizab antarabangsa itu adalah mengikut format ‘Special Data Dissemination Standard’ (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memberi maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain serta prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk 12 bulan akan datang.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang adalah berjumlah AS$5.59 bilion. Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM.

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$7.79 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$730 juta pada akhir bulan Jun 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” kata bank pusat itu menerusi kenyataan Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir Jun 2021 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data tersebut tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek yang berjumlah AS$2.35 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang, katanya.

Menurut BNM, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang matang dalam tempoh setahun berjumlah AS$389.1 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata bank pusat itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: