PKPD: FAMA Perak dapatkan pelepasan khas bawa keluar durian

Pek durian percuma sempena program CSR FAMA yang diagihkan kepada orang ramai secara pandu lalu di Titi Bina Padang Lalang dekat sini pada Jumaat.
Pek durian percuma sempena program CSR FAMA yang diagihkan kepada orang ramai secara pandu lalu di Titi Bina Padang Lalang dekat sini pada Jumaat.
A
A
A

BAGAN SERAI - [DIKEMASKINI] Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak dalam permohonan untuk mendapatkan pelepasan khas bagi membawa keluar hasil durian dari lokaliti yang dikenakan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan masalah lambakan durian yang baru masuk ke lapisan kedua musim buah di negeri ini.

Menurutnya, dalam tempoh dua minggu ini, FAMA berdepan sedikit kesukaran untuk memasarkan hasil durian secara penuh kerana sebahagian besar lokasi pengeluaran durian seperti di Mukim Selama dikenakan PKPD dan tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa.

"Bekalan durian memang banyak di Perak tetapi sebab PKPD kita tak boleh bawa keluar hasil pekebun ini kerana kawasan mereka telah dikenakan sekatan. Ini menyebabkan pemasaran kita jadi tersekat dan berlaku lambakan durian di sana.

"Kita telah berhubung dengan pegawai daerah dan polis untuk proses mencari jalan mendapatkan pelepasan bagi mudahkan kita masuk, beli (daripada pekebun) dan bawa keluar bagi tujuan pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada penyerahan 350 pek durian percuma sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FAMA di Titi Bina Padang Lalang dekat sini pada Jumaat.

Penyerahan dilakukan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya.

Artikel Berkaitan: