12 individu termasuk dua wanita ditahan terlibat judi dalam talian

Antara individu yang ditahan dan barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Petaling di sini pada Khamis.
Antara individu yang ditahan dan barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Petaling di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 12 individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian di sebuah kondominium di Sri Petaling di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua 12 suspek yang berusia antara 19 hingga 25 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 12 petang.

Menurutnya, polis merampas dua set komputer, 12 komputer riba pelbagai jenama, 105 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan dua modem.

"Analisa pakar judi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ke atas peralatan yang dijumpai di dalam rumah tersebut mendapati wujud unsur yang disyaki berkaitan aktiviti perjudian.

"Kesemua suspek mengaku terlibat dalam menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam perkembangan sama, Anuar turut menasihatkan orang ramai tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan: