Usahawan muda beli 2,000kg timun elak membazir

Ratna (kiri) menyampaikan bekalan timun tersebut kepada wakil-wakil masyarakat di bawah parlimen Kota Bharu.
Ratna (kiri) menyampaikan bekalan timun tersebut kepada wakil-wakil masyarakat di bawah parlimen Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang usahawan muda membeli 2,000 kilogram (kg) timun untuk diagihkan kepada orang ramai bagi mengelakkan pembaziran berikutan berlaku lambakan sayur tersebut.

Ratna Salsabella Ismail, 31, dari Telipot di sini mengambil keputusan membeli timun daripada Mohammad Al-Hafiz Ahmad Zuhdi, 37, dari Kampung Pusu 40, Lubok Jong, Pasir Mas yang mengusahakan tanaman tersebut di atas tanah seluas tiga ekar.

Menurut Ratna, dia terbaca di akhbar beberapa hari lalu mengenai lambakan sayur berkenaan dan mengambil keputusan membeli serta menderma kepada penduduk di Parlimen Kota Bharu selepas berbincang bersama suami.

“Insya-ALLAH ia akan diagihkan sebaik mungkin bagi mengelakkan pembaziran. Ini sahaja cara yang boleh kita bantu,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sayuran lain seperti lada juga akan dibeli secara pukal dengan Mohammad Al-Hafiz.

Longgokan timun berkenaan di bawa ke kediaman Ratna sebelum diagihkan kepada penghulu dan orang ramai.
Longgokan timun berkenaan di bawa ke kediaman Ratna sebelum diagihkan kepada penghulu dan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammad Al-Hafiz ketika ditemui berkata, dia dan rakan-rakan yang mengusahakan tanaman timun tidak dapat memasarkan sayuran itu sejak penularan Covid-19 ini.

Katanya dia mengalami kerugian puluhan ribu ringgit disebabkan masalah pemasaran.

“Kami turut membahagikan timun ini kepada penduduk kampung tetapi masih banyak. Hendak dibuang, membazir pula. Mujur ada mereka yang sudi membeli dan agihkan kepada masyarakat di sini.

“Kami jual dengan harga borong iaitu 20 sen sekilogram sedangkan kos untuk sekilo adalah 70 sen. Ini kerana saya hanya mahu kembalikan modal termasuk membayar gaji lapan orang pekerja. Mereka perlu bekerja, tanggung anak isteri di rumah.

“Mana-mana pihak yang mahu membeli timun ini bolehlah hubungi saya di talian 013-9981573. Kawan-kawan saya pun ramai lagi yang buntu untuk jual timun-timun mereka. Dengan bantuan inilah boleh kami bernafas seketika,”katanya.

Kisah lambakan timun berkenaan turut mendapat perhatian daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pelbagai perancangan telah dilakukan untuk membantu usahawan yang terlibat.