Bersatu Johor sokong PM terus pimpin kerajaan

Md Nasir
Md Nasir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.untuk terus memimpin kerajaan.

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Ir Md Nasir Hashim berkata, Bersatu Johor juga menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru semua ahli Parlimen memberi keutamaan menjaga kesejahteraan rakyat.

"Ini termasuk agenda memerangi Covid-19 pada sidang Parlimen khas yang sedang berlangsung ketika ini selain fokus meneruskan agenda membela rakyat dan memulihkan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Bersatu Johor mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan empat ahli Parlimen Bebas yang menyokong Muhyiddin.

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita mengenai pengumuman bahawa kerajaan membatalkan semua ordinan walhal belum lagi diperkenan Seri Paduka Baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada Isnin tidak tepat dan mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

Susulan itu ahli Parlimen pembangkang dan UMNO menggesa Perdana Menteri meletak jawatan dengan Ketua Pembangang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu, semua tindakan yang diambil kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta Peruntukan Perlembagaan.

Artikel Berkaitan: