Dua kakitangan kesihatan didakwa menipu bekalan peralatan tak wujud

Mohd Zamry (depan dua kanan) tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.
Mohd Zamry (depan dua kanan) tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Dua kakitangan kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas pertuduhan menipu pembekalan peralatan tidak wujud bernilai hampir RM10,000.

Mohd. Zamry Yazid, 46, dan Muhammad Nurhafizi Samat, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan tiga pertuduhan terhadap Mohd. Zamry, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pegawai perubatan didakwa telah menipu dan memperdayakan kakitangan PKD Jasin untuk memperakukan pembayaran bagi pembekalan peralatan tidak wujud di Unit Kawalan Mutu Air (KMAM).

Pembekalan tersebut berjumlah keseluruhan RM9,536 yang telah diperakukan pembayarannya kepada Perniagaan Pella Maju Enterprise pada 5 dan 9 November 2018 di PKD Jasin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Muhammad Nurhafizi turut didakwa di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.
Muhammad Nurhafizi turut didakwa di Mahkamah Sesyen pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nurhafizi yang bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran pula didakwa atas tiga pertuduhan sama membabitkan amaun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat.

Kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork dan Mohd. Zulfiqri Zakaria.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan serta memerintahkan untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta menetapkan sebutan semula kes pada 7 September depan.