Tiada alasan wakil rakyat UMNO pertahankan PN

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa ahli Parlimen UMNO mesti menjarakkan diri daripada terheret ke dalam krisis antara kerajaan dengan Istana kerana kesetiaan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada raja, negara dan parti.

Menurut beliau, ahli-ahli Parlimen UMNO tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran istana kerana ia adalah institusi yang UMNO telah berikrar akan taat serta pertahankan.

"Justeru, saya menyeru kebijaksaan dan hikmah semua ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar serta selari dengan pendirian parti.

"Tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan kerajaan yang telah dilihat nyata ingkar, culas dan gagal dalam melaksanakan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, pendirian rasmi UMNO telah dinyatakan dengan jelas oleh presiden parti dan pencerahan dari Istana Negara mengukuhkan lagi kebenaran pendirian parti.

"Semua ahli dan pendokong setia parti, walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat mereka di dalam serta di luar kerajaan, wajib akur dan patuh terhadap pendirian tersebut.

"Pilihan wakil rakyat UMNO adalah jelas kecuali mereka memilih sebaliknya, pada saat negara dan rakyat telah hilang segala keyakinan kepada kerajaan PN," katanya.

Artikel Berkaitan: