Muhyiddin diingatkan tidak perkecil peranan Agong

Wan Anwar Wan Ibrahim
Wan Anwar Wan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan untuk tidak memperkecilkan peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berhenti mengheret Seri Paduka Baginda ke dalam krisis Perlembagaan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, kenyataan Pejabat Perdana Menteri mengenai isu pembatalan semua Ordinan Darurat pada Khamis jelas merupakan cubaan merendah-rendahkan Yang di-Pertuan Agong apabila menyebut bahawa Seri Paduka Baginda tertakluk sepenuhnya untuk mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Beliau menegaskan bahawa pendirian Pejabat Perdana Menteri itu adalah jelas tersasar sama sekali dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa di bawah prinsip Perlembagaan, Tuanku (Yang di-Pertuan) Agong hanya akan mengikut nasihat Jemaah Menteri apabila nasihat yang diberikan itu adalah selari dengan kehendak Perlembagaan.

“Saya melihat Tuanku (Yang di-Pertuan) Agong faham benar akan peranan baginda di bawah Perlembagaan berbanding Jemaah Menteri yang keliru dengan tafsiran mereka sendiri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Anwar yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang (Kanun) Amanah berkata, adalah mustahil Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang menjalankan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan langsung tidak memahami apa yang telah dihasratkan supaya kesemua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan.

“Saya turut bersedih apabila menyaksikan institusi Raja-raja Melayu terus direndah-rendahkan semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ini,” tambahnya dalam kenyataan sama.

Artikel Berkaitan: