UMNO perlu tinggalkan PN, tubuh kerajaan Interim: Khaled Nordin

Khaled Nordin
Khaled Nordin
A
A
A

SHAH ALAM -UMNO perlu meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan menubuhkan kerajaan interim sebagai jalan keluar daripada konflik melibatkan kerajaan dan institusi beraja.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, wakil rakyat UMNO hanya mempunyai satu pilihan iaitu mendukung titah Yang di-Pertuan Agong kerana kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tidak menjernihkan keadaan malah akan menjadikan semakin meruncing.

"UMNO tidak akan dan tidak wajar terseret dalam konflik ini. Iltizam UMNO sejak awal penubuhannya antara lain mempertahankan institusi beraja.

"Apa jua tindakan yang tidak selari dengan iltizam tersebut bertentangan dengan nilai, pendirian dan perjuangan UMNO.

"Jalan keluar dari semua ini ialah untuk UMNO mengusahakan penubuhan kerajaan interim. Meninggalkan Perikatan Nasional adalah lebih baik dan strategik dari membelakangkan kepentingan nasional dalam saat krisis ini," katanya melalui hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tambah beliau, kewibawaan kerajaan punah dan wakil rakyat UMNO mesti memilih sama ada bersama raja dan rakyat atau bersama Perdana Menteri dan PN.

Ujarnya, penubuhan kerajaan interim boleh diusahakan hanya dengan tiga mandat demi menyelamatkan Malaysia ketika ini dan hanya terhenti apabila Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

"UMNO mesti menggunakan kesempatan ini untuk memberikan kepimpinan yang diharapkan demi sebuah negara yang sangat memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"UMNO mesti menyelamatkan Malaysia dengan mengusahakan penubuhan Kerajaan Interim hanya dengan 3 mandat sahaja iaitu Menguruskan ekonomi negara, menguruskan krisis kesihatan dan mentadbir negara demi menyediakan ia untuk Pilihanraya Umum ke-15," katanya.

Suhu politik negara kembali panas pada Khamis ketika pembangkang membangkitkan kenyataan dari Istana Negara yang mengesahkan kerajaan PN bertindak mengelirukan Dewan Rakyat dan membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

Susulan itu desakan demi desakan dibuat ahli-ahli Parlimen pembangkang dan UMNO yang menuntut Muhyiddin bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan.