X

Kindly register in order to view this article
!

Hup Wei sedih cabaran di Tokyo berakhir

Hup Wei - Foto Bernama
A
A

KEKECEWAAN jelas terpancar di wajah jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei, selepas tamat pusingan kelayakan acara lompat tinggi lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Jumaat.

Hup Wei, yang membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik selepas edisi Beijing 2008 dan London 2012, tidak dapat menyembunyikan kesedihan ketika wartawan cuba mendapatkan ulasan beliau berhubung prestasinya.

Sambil mengesat air mata, atlet berusia 34 tahun itu hanya menggelengkan kepala tanpa memberi sebarang kenyataan.

Sebelum itu, Hup Wei kelihatan sebak semasa ditemu bual beberapa stesen televisyen Malaysia, sebelum bergerak ke kawasan dibenarkan wartawan media cetak, untuk menemu bual atlet.

Pada saingan berlangsung pagi tadi, atlet kelahiran Kajang, Selangor itu gagal melepasi ketinggian 2.17 meter (m) pada pusingan kelayakan tersebut, yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Hup Wei yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.29 meter (m), gagal melepasi ketinggian pertama ditetapkan dalam ketiga-tiga percubaannya, sekali gus gagal meneruskan cabaran ke final.

Hanya 12 atlet terbaik daripada 33 peserta layak ke peringkat akhir acara berkenaan.

Hup Wei menamatkan cabaran di tempat ke-32 keseluruhan pada edisi Beijing, dengan lompatan setinggi 2.20m manakala di London, beliau di kedudukan ke-30 dengan catatan 2.16m. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!