Muhyiddin langgar kuasa Agong secara sedar: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara sedar melanggar kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan tidak mengendahkan titah Seri Paduka Baginda agar hal Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Yang di-Pertuan Agong perkenan bertitah pada 24 Julai dalam pertemuan secara maya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara agar ordinan yang digubal dan diperkenan Seri Paduka Baginda dibentangkan serta dibahas di Parlimen untuk pembatalan.

“Jelas titah Tuanku tidak diendahkan kerana pembatalan ordinan sejak awal lagi tidak termasuk dalam agenda pembentangan.

“Asas inilah yang kami ahli Parlimen Pakatan Harapan, Warisan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bangkitkan kenapa persidangan kali ini tidak dibawa usul perbahasan ordinan yang nak dibatalkan memandangkan tarikh tamat Darurat adalah 1 Ogos.

“Semua penerangan menteri tidak bermakna tanpa diselesaikan dahulu soal Ordinan Darurat di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal belum lagi diperkenankan baginda.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Parit Buntar itu menambah, lebih memalukan apabila sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan Speaker sebanyak tiga kali dengan dalih yang melucukan.

“Salah satu penangguhan pada jam 3.30 petang atas sebab semua ahli Parlimen perlu membuat pemeriksaan Covid-19 sedangkan ia sudah dibuat Jumaat lalu. Tiba-tiba sahaja Speaker maklumkan ada kes positif tiga hari lalu.

Artikel Berkaitan:

“Membuat alasan Covid-19 untuk melengahkan soal pelanggaran kuasa Tuanku sekali gus melanggar Perlembagaan Persekutuan adalah tidak bertanggungjawab dan memalukan institusi demokrasi Parlimen.

“Saya yakin sesi hari terakhir persidangan Isnin depan akan ditangguh keseluruhannya atas alasan Covid-19 juga,” katanya.