X

Kindly register in order to view this article
!

Enam masjid di Kuala Perlis tertakluk SOP lebih ketat

Tuanku Syed Faizuddin
A
A

ARAU - Enam masjid di Kuala Perlis tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat berkuat kuasa serta-merta selepas mengambil kira penularan Covid-19 di kawasan terbabit.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, masjid terlibat ialah Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis; Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai; Masjid Terapung Al-Hussain; Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan; Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.

Baginda bertitah, SOP yang telah digariskan kepada jemaah adalah tempoh masa bermula azan sehingga selesai solat Jumaat adalah 20 minit sahaja manakala 15 minit tempoh bermula iqamah dan waktu bersurai bagi solat fardu 5 waktu.

"Aktiviti pengimarahan lain seperti kuliah agama, ceramah dan sebagainya adalah tidak dibenarkan buat masa ini dan semua jemaah diminta untuk meminimumkan perhimpunan iaitu segera beredar setelah selesai menunaikan solat.

"Pelaksanaan SOP ketat bagi masjid di kawasan Kuala Perlis yang terlibat adalah berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh yang akan dimaklumkan, bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa," titah baginda.

Baginda bertitah, kerajaan Perlis turut memutuskan membenarkan kehadiran jemaah masjid dalam kalangan anak kariah sahaja (kecuali pegawai dan petugas) yang berusia antara 12 sehingga 59 tahun.

"Bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas kehadiran dibenarkan dengan syarat sudah melengkapi dua dos suntikan vaksin Covid-19," titahnya.

Titah baginda, keputusan terbabit telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri berkenaan.

"Bagaimanapun terdapat beberapa golongan yang dilarang hadir ke masjid walaupun melengkapi syarat yang digariskan.

"Mereka adalah yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan atau negeri termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari walaupun telah melengkapi dua dos suntikan vaksin.

"Larangan ini adalah selama tempoh dua minggu dari tarikh merentas sempadan.

"Selain itu, ahli keluarga yang tinggal bersama dengan golongan yang merentas sempadan juga tidak dibenarkan hadir kecuali ahli keluarga yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin.

"Larangan ini juga termasuk golongan yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti," titah baginda.

Baginda bertitah, semua jemaah yang hadir hendaklah mematuhi segala SOP Keselamatan dan Kesihatan termasuk menjaga jarak dan memakai pelitup muka.

"Aktiviti kuliah agama, ceramah, solat jenazah dan sebagainya dibenarkan dengan syarat pematuhan ketat kepada SOP dan jamuan hendaklah secara edaran sahaja," titah baginda.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!