Bapa 2 anak didakwa lakukan jenayah seksual terhadap budak perempuan

Ravichandran dibawa ke lokap mahkamah selepas didakwa atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
Ravichandran dibawa ke lokap mahkamah selepas didakwa atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Seorang pemandu bas sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, dua tahun lalu.

Tertuduh, K Ravichandran, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, Ravichandran didakwa telah menyentuh kemaluan kanak-kanak perempuan terbabit ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di atas motosikal di Taman Pinji Ria di sini antara jam 1 petang hingga 1.25 petang pada 6 Ogos 2019.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat serta hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis tidak lebih dari tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail menawarkan jaminan sebanyak RM10,000, namun tertuduh yang diwakili peguam bela Datin K Shamini memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh merupakan penanggung tunggal dalam keluarga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: