Jemaah Menteri bertanggungjawab pelanggaran prinsip Raja Berpelembagaan

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan seluruh anggota Jemaah Menteri harus bertanggungjawab ke atas pelanggaran prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang berlaku.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia selari dengan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan prinsip kebertanggungjawaban bersama yang mana seluruh ahli Jemaah Menteri wajib mengambil tanggungjawab bersama atas segala keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Perdana Menteri selaku ketua kerajaan.

“Menurut doktrin ‘ministerial responsibility’, terdapat beberapa prinsip yang harus dipertegaskan antaranya ‘responsibility for monarch’s acts’ iaitu seseorang menteri secara politik bertanggungjawab atas tindakan rasmi institusi beraja.

“Selain itu, dalam doktrin berkenaan terdapat prinsip ‘duty to act with unanimity’ yang bermaksud seluruh menteri bertindak sebagai satu suara kepada warga awam, Parlimen serta Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan, walhal pembatalan itu belum mendapat perkenan baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong dukacita kenyataan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan

Menurut Muhammad Faisal, tindakan kerajaan yang menghina institusi istana, Dewan Rakyat dan seluruh warga Malaysia yang menjunjung prinsip Rukun Negara sebagai teras dalam amalan bernegara adalah tindakan seluruh anggota Jemaah Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Oleh yang demikian, selain gesaan dengan tegas untuk Perdana Menteri berundur secara terhormat dan bermaruah, ABIM menggesa seluruh Jemaah Menteri mengambil tanggungjawab ke atas pelanggaran prinsip Perlembagaan Persekutuan untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan mengangkat kembali prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan khususnya dalam pengendalian Ordinan Darurat di Parlimen,” katanya.