X

Kindly register in order to view this article
!

11 individu positif Covid-19 di Parlimen semalam

Dr Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 11 individu termasuk petugas dikesan positif Covid-19 dalam saringan yang dilakukan di Parlimen pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 10 kes dikesan positif melalui RTK-AG Saliva Test Kit dan bakinya menerusi RT-PCR.

"Dua daripada mereka dikesan bergelaja ringan manakala selebihnya tidak bergejala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimaklumkan terdapat dua kes positif Covid-19 pada jam 12.30 tengah hari.

"Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu dan dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Julai 2021 melalui ujian pengesahan RT-PCR yang dijalankannya di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk serta selesema," katanya.

Beliau berkata, kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi sama dengan menggunakan ujian kendiri RTK- AG Saliva kerana beliau mengalami gejala batuk.

"Berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua yang hadir dan berada di Parlimen mulai 26 Julai dinasihati agar menjalani ujian saringan.

"Sehingga jam 8 malam 29 Julai, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah menjalankan ujian saringan RTK-AG Saliva terhadap 1,183 individu," katanya.

Ujarnya, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

"Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

"Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!