Hamilton tak serik

Hamilton
Hamilton
A
A
A

PEMANDU Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton tidak serik dan akan mengulangi aksi kontroversinya yang mencetuskan insiden pelanggaran dengan pemandu Red Bull, Max Verstappen dalam perlumbaan Grand Prix (GP) British baru-baru ini.

Menurut Hamilton, tindakannya itu tidak salah dan cara pemanduannya akan tetap dikekalkan dalam saingan GP Hungary hujung minggu ini.

"Dari segi pemanduan, saya akan tetap meneruskan perlumbaan dengan cara saya. Saya sudah melakukannya di GP British. Saya melihat insiden itu dan menilainya daripada pengalaman saya.

"Banyak yang saya lihat daripada pengalaman saya dalam sukan ini dan saya tidak akan mengubah cara pemanduan saya.

"Saya tidak percaya cara saya berlumba itu adalah salah dan ia adalah satu perlumbaan yang sengit," katanya.

Pada perlumbaan di Litar Silverstone itu, Hamilton didakwa sebagai punca yang mengakibatkan Verstappen terbabas sehingga melanggar penghadang keselamatan.

Sebelum insiden itu berlaku, Verstappen memulakan perlumbaan di petak hadapan, namun dia menerima cabaran sengit daripada Hamilton sehingga memaksanya beraksi adengan lebih agresif.

Ketika saingan memasuki pusingan kedua, Verstappen gagal mengemudi jentera selepas tayar belakangnya terlanggar jentera Hamilton menyebabkan dia terbabas.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, Hamilton yang dibenar meneruskan perlumbaan hanya dikenakan penalti 10 saat oleh pegawai perlumbaan sebelum pemandu sensasi Britain itu menjuarai GP British buat kali kelapan.