Lebih 11,000 masyarakat Orang Asli di Pahang sudah divaksin

Johari bertemu masyarakat Orang Asli pada Program Outreach Vaksinasi (POV) Covid-19 di Kampung Meter, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, Lipis.
Johari bertemu masyarakat Orang Asli pada Program Outreach Vaksinasi (POV) Covid-19 di Kampung Meter, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, Lipis.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 11,024 masyarakat Orang Asli di Pahang sudah menerima suntikan vaksin menerusi Program Outreach Vaksinasi (POV) Covid-19 yang dilancarkan pada 16 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,636 individu sudah melengkapkan dos pertama dan kedua.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 20 peratus daripada 54,164 Orang Asli berumur 18 tahun ke atas yang layak sudah menerima suntikan vaksin

"Berdasarkan rekod, Pahang adalah negeri paling ramai Orang Asli yang menerima suntikan berbanding beberapa negeri lain seperti Johor, Kelantan, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ini membuktikan kesedaran dalam kalangan Orang Asli untuk menerima suntikan vaksin semakin tinggi,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau memaklumkan bagi memastikan kesemua rombongan masyarakat Orang Asli disuntik, rombongan POV akan berkunjung ke setiap kampung yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai termasuk Rancangan Penempatan Semula (RPS).

Tambahnya, rombongan POV turut disertai Pegawai Psikologi (Kaunseling) Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berketurunan Orang Asli untuk memberi penerangan dan nasihat supaya masyarakat pribumi itu menerima vaksin.

“Selain itu, jururawat akan ziarah setiap rumah untuk tujuan vaksinasi terhadap golongan warga emas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!