Pelajar lepasan universiti rugi RM138,990 ditipu pekerjaan sambilan

Aidi Sham Mohamed
Aidi Sham Mohamed
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pelajar lepasan universiti kerugian RM138,990 selepas menjadi mangsa penipuan berkaitan dengan tawaran pekerjaan sambilan di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian bermula apabila mangsa seorang wanita berusia 24 tahun melihat iklan pekerjaan di laman Facebook pada 22 Julai lepas.

"Mangsa kemudiannya berurusan dengan individu bernama Nelson Pang dan diminta untuk memuat turun satu aplikasi dan telah diberikan 'id' dan nama pengguna.

"Mangsa perlu memasukkan wang ke dalam akaun itu dan mencapai sasaran pesanan sehingga mencukupi nilai barang-barang daripada laman Shopee, Lazada atau Zalora yang dipesan oleh syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa dijanjikan komisen sebanyak 2.5 peratus bersama wang yang telah dimasukkan itu jika berjaya mencapai sasaran tersebut.

"Mangsa telah membuat bayaran untuk tujuan ini sebanyak 15 kali transaksi bermula 22 hingga 25 Julai lalu ke dalam enam buah akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM138,990 menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Allahyarham bapa tirinya.

"Selepas kesemua pembayaran tersebut dibuat, mangsa masih gagal mendapat wang komisen yang dijanjikan malahan masih diminta untuk memasukkan wang.

"Mangsa seterusnya membuat laporan polis pada Selasa lepas selepas menyedari ditipu sehingga mengalami kerugian berjumlah RM138,990," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aidi Sham berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

"Pihak polis menegaskan supaya data peribadi atau identiti diri tidak didedahkan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali atau baru dikenali di internet serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi.

"Orang ramai perlu membuat semakan nombor di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi serta membuat semakan latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan," katanya.