Mengawal pembiayaan politik

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang dianggotai 19 tokoh dan dipengerusikan oleh Senator Datuk Paul Low Seng Kuan (kiri) dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Idris Jala (kanan).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang dianggotai 19 tokoh dan dipengerusikan oleh Senator Datuk Paul Low Seng Kuan (kiri) dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Idris Jala (kanan).
A
A
A

DALAM empat buah rencana saya sebelum ini saya telah menggariskan tentang amalan kapitalisme kroni (crony capitalism), ekonomi politik (political economy), rasuah politik dan krisis pembiayaan politik (political funding).

Semua itu telah berakar umbi dalam sistem politik kita. Ia menjadi sebahagian budaya politik negara. Kita harus mengakui bahawa wang dan politik tidak boleh dipisahkan, seperti lagu P. Ramlee, ibarat irama dan lagu. Parti politik tidak boleh bertahan tanpa sumbangan politik. Tentulah mustahil untuk memastikan sumbangan politik dihapuskan sama sekali

Di banyak negara di dunia, telah diwujudkan mekanisme perundangan melalui akta dan peruntukan untuk mengawal atau memantau pembiayaan politik. Negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS). Kanada, Korea Selatan, Indonesia, Mexico, Taiwan dan lain-lain mempunyai sistem kawalannya sendiri. Semuanya dibuat berdasarkan keperluan negara itu.

Perhatian biasanya diberikan pada sumbangan individu, sumbangan korporat, sumbangan secara rahsia atau sumbangan dari luar negara. Negara-negara ini juga menentukan batas sumbangan (sekiranya dibenarkan) bagi individu dan korporat. Ada yang menghalang terus syarikat besar daripada memberikan sumbangan. Ada negara yang tidak membenarkan sumbangan dari syarikat yang mendapat kontrak kerajaan.

Tetapi semua negara mewajibkan mereka yang menyumbang melakukannya secara transparent. Pada waktu yang sama ada negara yang menghadkan jumlah yang dibelanjakan oleh mana-mana parti politik dan individu semasa pilihan raya.

Mekanisme pemantauan ini boleh merupakan badan yang bertanggungjawab ke atas pilihan raya (seperti Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR yang kita ada) atau agensi yang khusus diwujudkan bagi tujuan itu.

Kita harus ingat negara-negara seperti Korea Selatan dan Indonesia membuat peraturan baharu ini selepas Krisis Kewangan Asia tahun 1997. Kedua-dua negara Asia itu sedar bahawa amalan kapitalisme kroni pada akhirnya akan merosakkan negara dan memudaratkan rakyat. Bagi Indonesia, Era Reformasi selepas kejatuhan Presiden Suharto memberikan peluang untuk mereka membuat banyak pembaikan.

Ada yang akan bertanya mengapakah perlu pemantauan terhadap pembiayaan politik? Bukan rahsia lagi bahawa parti politik yang banyak wang ada kelebihannya. Maka itu perlu diwujudkan ruang permainan yang sama (level playing field) dalam politik. Parti yang kecil juga berhak mendapat sumbangan. Sekiranya tanpa kawalan, penyumbang akan hanya menumpukan perhatian pada parti besar dan berpengaruh. Parti itu akan jadi lebih kaya dan lebih berpengaruh.

Artikel Berkaitan:

Dengan wang yang banyak tiada siapa yang akan dapat menandinginya disebabkan tiada kesamarataan. Itulah yang berlaku pada parti seperti UMNO di Malaysia dan Golkar di Indonesia satu ketika dahulu.

Satu lagi keuntungan parti yang besar ialah kebolehannya mengekalkan kuasa. Kuasa mutlak boleh memungkinkan salah guna dan amalan korupsi berleluasa.

Malaysia memerlukan mekanisme baharu untuk memastikan keadilan dalam sistem kepartian. Saya ingin memberikan pujian kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil inisiatif mewujudkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (National Consultative Committee on Political Financing).

Jawatankuasa ini dilancarkan pada 14 Ogos 2015. Ia diamanahkan untuk menyiapkan laporan dan cadangan selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2016.

Saya menghormati keberanian Najib menubuhkan jawatankuasa ini. Inilah kali pertama kerajaan BN merestui sebuah jawatankuasa sedemikian. Bukan rahsia lagi, bahawa penubuhan jawatankuasa itu akan mendedahkan banyak amalan BN dan UMNO khususnya. Cadangan yang bakal dikemukakan tentulah tidak banyak menguntungkan BN dan UMNO.

Sayugia diingat bahawa pada tahun 2015 skandal 1MDB sudah mula meledak. Najib menghadapi tekanan pelbagai pihak untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam 1MDB.

Jawatankuasa ini terdiri daripada 19 orang tokoh dalam pelbagai disiplin. Ia dipengerusikan oleh Senator Datuk Paul Low Seng Kuan yang merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika itu. Kecuali Paul Low dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Idris Jala, tidak ada seorang pun ahli yang dilantik dari kalangan orang politik.

Bagaimanapun tiga orang yang dilantik dalam jawatankuasa itu kemudiannya memasuki dunia politik. Mereka adalah Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, SPR), Wan Saiful Wan Jan (sekarang Datuk) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar yang dilantik Menteri Belia dan Sukan pada zaman Pakatan Harapan).

Selain Jawatankuasa Induk, terdapat Jawatankuasa Teknikal yang dipimpin oleh Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, yang ketika itu mengetuai Institut Integriti Malaysia (IIM). Datuk Seri Mustafar Ali mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Jawatankuasa Teknikal. IIM bertindak sebagai sekretariat.

Antara lain jawatankuasa ini diberikan tanggungjawab untuk mengenalpasti dan memberikan cadangan untuk menangani isu yang membabitkan soal pembiayaan politik bagi parti politik dan orang politik. Ia diminta mencadangkan kepada kabinet mana-mana peruntukan, peraturan atau akta yang sesuai untuk memastikan pemantauan pembiayaan politik yang berkesan.

Dokumen laporan dan cadangan Jawatankuasa itu yang diberi nama “Political Financing in Malaysia: Reinforcing Integrity” (Pembiayaan Politik di Malaysia: Memperkukuh Integriti) telah disampaikan pada Najib pada bulan Ogos 2016. Apabila BN tewas, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa selama 22 bulan. Hari ini Perikatan Nasional, menjadi kerajaan.

Soalannya, apakah yang berlaku pada dokumen penting itu?

*Tan Sri Johan Jaaffar salah seorang anggota Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Ogos 2015. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).