X

Kindly register in order to view this article
!

Rasuah: Ikan busuk dari kepala

Kajian SPRM terhadap persepsi masyarakat tahun lalu menunjukkan orang ramai percaya hampir 80 peratus pegawai dan anggota penguat kuasa PBT di negara ini mengamalkan rasuah, sedangkan mereka yang terlibat sama ada memberi atau menerima sekitar 20 peratus sahaja.
A
A
BERITA penahanan dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu adalah sesuatu yang mengejutkan.

Selama ini disangkakan hanya anggota penguat kuasa dan pegawai berpangkat rendah yang terlibat kes rasuah, rupa-rupanya orang No. 1 pihak berkuasa tempatan turut ada yang terpalit.

Dalam kes terbaharu di Selangor itu, kedua-dua bekas YDP majlis perbandaran itu masih bertugas sebagai pegawai daerah.

Mereka tidak bersalah selagi belum diputuskan oleh mahkamah. Turut ditahan ialah seorang kontraktor dan seorang juruukur bahan.

Sebenarnya pandangan orang ramai terhadap rasuah melibatkan dewan bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah sudah buruk walaupun hakikatnya tidaklah seteruk itu.

Kajian SPRM terhadap persepsi masyarakat tahun lalu menunjukkan orang ramai percaya hampir 80 peratus pegawai dan anggota penguat kuasa PBT di negara ini mengamalkan rasuah, sedangkan mereka yang terlibat sama ada memberi atau menerima sekitar 20 peratus sahaja.

Seperti kata pepatah lama, ikan busuk dari kepala. Kalau kepala sudah busuk, ia dengan mudah merebak ke bahagian badan dan ekor.

Begitulah juga kalau ketua sudah rosak integritinya, bagaimana pula anak-anak buahnya yang lain?

Penahanan bekas YDP itu merupakan tanda kesungguhan SPRM untuk membersihkan PBT dan agensi kerajaan daripada kartel rasuah.

Menurut sumber SPRM, individu terbabit dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang merupakan sindiket kartel projek bagi membolot projek-projek bernilai puluhan juta ringgit di empat daerah di Selangor sejak 2012.

Difahamkan, dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah sahaja, kontraktor terlibat memperoleh pelbagai projek dianggarkan bernilai RM20 juta.

Modus operandinya ialah menggunakan kira-kira 70 syarikat bagi membolot projek-projek tersebut termasuk 16 syarikat milik keluarga dan selebihnya merupakan kroni atau proksi.

Bekas YDP terbabit dikatakan menerima lima peratus daripada nilai projek di samping pelbagai kemewahan lain termasuk ubah suai rumah dan percutian ke luar negara.

Tangkapan di Selangor itu adalah pembongkaran kedua SPRM berhubung kartel projek kerajaan.

April lalu, SPRM berjaya melumpuhkan satu sindiket kartel projek yang memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara. Nilai projek berkenaan RM3.6 bilion.

Sindiket itu sudah beroperasi sejak 2014 dengan menggunakan lebih 150 syarikat untuk memasuki tender di kementerian dan agensi terbabit.

Sesetengah pegawai tinggi kerajaan ini ada yang bergelar Datuk dan Datuk Seri. Maka, amaran Sultan Selangor untuk menarik balik kurniaan darjah dan bintang kebesaran negeri daripada individu yang didapati bersalah dalam rasuah adalah tepat dan wajar dicontohi negeri-negeri lain.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan “rasuah boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara.”

Amalan rasuah menyebabkan ada pemaju dan kontraktor sengaja mengurangkan kos pembinaan bagi memaksimumkan keuntungan.

Akibatnya ada pemaju yang menggunakan bahan bermutu rendah yang tidak menepati piawaian ditetapkan, tidak mematuhi syarat kelulusan majlis tempatan atau melantik pekerja tidak berpengalaman.

Kalau sekadar membina tandas awam atau projek jalan kampung, mungkin cepat rosak sahaja. Bayangkan jika melibatkan bangunan besar seperti hospital dan kondominium, pasti nyawa jadi taruhan.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!