Nuraisyah, Juni baki kelemahan pada garisan permulaan

Gandingan pelayar negara, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali berjaya memperbaiki kelemahan dalam acara International 470 Wanita di Sukan Olimpik Tokyo, pada Khamis. -Foto Olympic Council of Malaysia
Gandingan pelayar negara, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali berjaya memperbaiki kelemahan dalam acara International 470 Wanita di Sukan Olimpik Tokyo, pada Khamis. -Foto Olympic Council of Malaysia
A
A
A

GANDINGAN pelayar negara, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali berjaya memperbaiki kelemahan dalam acara International 470 Wanita di Sukan Olimpik Tokyo, pada Khamis

Jurulatih negara Muhammad Sahir A Rahim berkata, anak buahnya bermula dengan baik pada saingan hari kedua apabila menduduki tangga ke-18 pada perlumbaan ketiga sebelum merosot kepada kedudukan ke-20 pada perlumbaan keempat di Enoshima Yacht Harbour.

"Semalam Nuraisyah dan Juni dilihat ketinggalan selain tidak dapat berlayar sebaris dengan pelayar handal di garisan perlumbaan sebelum ini, namun hari ini mereka dapat atasi kelemahan itu,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, keadaan angin pada kelajuan 18 knot serta ombak setinggi dua meter turut mempengaruhi prestasi kedua-dua atlet berkenaan.

Muhammad Sahir berkata, pada perlumbaan esok, tumpuan akan diberikan terhadap aspek mengurangkan jurang antara pelayar yang berada di hadapan sekiranya keadaan angin dan ombak masih sama seperti hari ini.

Selepas empat perlumbaan, gandingan negara yang membuat kemunculan pertama di pentas Olimpik itu memungut 52 mata bersih manakala pelayar dari Poland, Agnieszka Skrzypulec-Jolanta Ogar mengungguli saingan setakat ini dengan empat mata bersih.

Sementara itu, Khairulnizam Mohd Afendy menamatkan saingan di kedudukan ke-26 pada perlumbaan ketujuh sebelum turun kepada tangga ke-28 pada perlumbaan kelapan dalam acara Laser Standard Lelaki hari ini.

Khairulnizam kini menduduki ranking ke-27 secara keseluruhan daripada 35 pelayar dengan 153 mata bersih, menyaksikan pelayar Australia, Matt Wearn, mendahului saingan dengan 29 mata bersih selepas lapan siri perlumbaan.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pelayar negara, Nur Shazrin Mohamad Latif pula berada di kedudukan ke-28 pada perlumbaan ketujuh dan terus ketinggalan apabila menamatkan cabaran di tempat ke-30 pada perlumbaan kelapan dalam acara Laser Radial wanita.

Nur Shazrin setakat ini mengutip 163 mata bersih untuk berada di kedudukan ke-28 daripada 44 pelayar manakala pelayar Denmark, Anne-Marie Rindom sedang memimpin carta keseluruhan dengan 25 mata bersih. - Bernama