Orang yang berilmu belum tentu beradab!

Rakaman seorang lelaki yang menghina warga emas tular di media sosial.
Rakaman seorang lelaki yang menghina warga emas tular di media sosial.
A
A
A

MENYIRAP sungguh Merak Jalanan melihat satu video tular yang menunjukkan suami kepada usahawan terkenal ‘memotivasikan’ seorang pak cik tetapi dilihat lebih kepada menghina, mengaibkan dan merendahkan maruah warga emas terbabit.

Ingat! Kehidupan orang di masa lampau tak perlu diungkit. Kita tak tahu pun apa yang dihadapinya. Nak bantu buatlah cara nak bantu, tak payah tanya apa yang dikesali pak cik itu pada masa lalu. Kaya tidak semestinya boleh menghina orang tua sesuka hati.Itulah jadinya apabila orang yang kononnya sukses dalam dunia perniagaan sibuk nak beri motivasi kepada orang lain tetapi tak kena caranya.

Pada pendapat Merak Jalanan, tak salah pun mahu berkongsi motivasi tetapi sebenarnya ia bukan kerja yang mudah.

Agak-agak jika diri kurang pandai berkomunikasi, kurang bijak memilih kata-kata dan tak berapa nak cerdik sangat, maka adalah lebih baik tumpukan sahaja pada bisnes.

Jangan ingat bila dah berada di puncak, ia tiket menjadikan diri tersangatlah hebat sehingga terus-terusan mendongak ke langit.

Rezeki manusia adalah urusan ALLAH SWT. Hidup ini pun ada pasang surutnya. Jauhkan diri kita daripada menjadi insan yang riak dan takbur.

Melihat video berkenaan, satu sahaja yang boleh Merak Jalanan katakan – ternyata harta tidak boleh membeli akal dan adab. Orang yang beradab sudah pasti berilmu, orang yang berilmu belum tentu beradab. Seeloknya, ilmu dan adab biarlah selari, barulah boleh menjadi contoh kepada masyarakat.

Kepada lelaki berkenaan, jangan menyesal pula nanti. Disebabkan kelancangan ‘bermotivasi’, tidak mustahil produk pula yang kena boikot. Barulah sesuai dengan peribahasa kerana pulut santan binasa, kerana mulut ‘bisnes’ binasa.

Artikel Berkaitan: