Varian baharu (VOC) punca kematian tinggi di Kluster Persiaran Agas

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor ( JKNJ) tidak menolak kemungkinan berlaku jangkitan daripada varian baharu 'varian of concern' di dalam Kluster Persiaran Agas, Tangkak.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kemungkinan itu dibuat susulan Kluster Persiaran Agas melaporkan bilangan kematian yang tinggi dengan 13 pekerja.

Menurutnya, Kluster Persiaran Agas diisytiharkan pada 9 Julai lalu membabitkan pekerja daripada sebuah kilang elektronik pembuatan semikonduktor di Tanjung Agas, Tangkak.

"Sehingga Rabu, jumlah kes yang dilaporkan di dalam kluster ini adalah sebanyak 462 kes dengan 13 kematian dilaporkan membabitkan kluster berkenaan, setakat ini.

"Daripada bilangan itu seramai 207 (44.8 peratus) orang membabitkan pekerja kilang itu, di mana 155 daripadanya adalah warga tempatan manakala 52 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

"Sebanyak 255 kes lain adalah kes yang dilaporkan dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan pekerja-pekerja kilang itu," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Vidyananthan berkata, hampir kesemua kematian yang dilaporkan itu mempunyai komorbiditi atau penyakit kronik dan lewat mendapat rawatan dengan purata empat hari (julat 1 hingga 9 hari) dari onset gejala serta tarikh mendapat rawatan.

"Disebabkan bilangan kes dan kematian yang tinggi, JKNJ membuat susulan ke atas tindakan pencegahan serta kawalan yang dilaksanakan di kluster itu termasuk arahan penutupan kilang yang dilaksanakan bermula dari 3 Julai lalu bagi tujuan siasatan dan aktiviti sanitasi.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh itu bermula dengan penutupan seksyen yang melaporkan kes di peringkat awal di akhiri penutupan sepenuhnya keseluruhan kilang pada 14 Julai sehingga 20 Julai lalu," jelasnya

Beliau berkata, JKNJ tidak menolak punca utama penularan secara meluas di Tanjung Agas dikesan disebabkan oleh ketidak patuhan penjagaan prosedur standard operasi (SOP) dalam kalangan pekerja di tempat kerja mahupun di dalam komuniti.

"Kes pertama yang dilaporkan di dalam kluster ini membabitkan seorang pekerja kilang yang mula bergejala (demam) pada 24 Jun lalu, namun sehingga 28 Jun, pekerja berkenaan masih lagi berkerja di kilang terbabit.

"Pemeriksaan serta ujian calitan RT-PCR di klinik kesihatan mengesahkan dia positif Covid-19 pada 2 Julai lalu," katanya.

Justeru, sebanyak 2,501 ujian calitan Covid-19 dijalankan dan sebanyak 462 kes positif dikenal pasti setakat ini dengan kadar positif sebanyak 18.5 peratus dengan 2,039 lagi hasil ujian adalah negatif.

Katanya, kilang terbabit mempunyai seramai 4,057 orang pekerja yang majoritinya iaitu 3,806 adalah pekerja warga tempatan yang menetap di Tangkak, Muar dan Jasin, Melaka manakala 251 orang lagi adalah pekerja asing.

"Sehingga 28 Julai 2021, seramai 1,495 pekerja kilang diarahkan menjalani kuarantin di rumah (HSO) kerana disyaki sebagai kontak rapat.

"Tempoh kuarantin juga ditingkatkan ke 21 hari memandangkan bilangan kematian yang tinggi menyebabkan kemungkinan berlakunya penularan kes VOC di kilang terbabit," katanya.