Tuan rumah dikompaun RM4,000 anjur majlis perkahwinan

Seorang anggota polis memeriksa majlis perkahwinan di sebuah rumah di Kampung Padang, Mukim Gajah Mati, Pokok Sena pada Khamis. - Foto PDRM Kota Setar
Seorang anggota polis memeriksa majlis perkahwinan di sebuah rumah di Kampung Padang, Mukim Gajah Mati, Pokok Sena pada Khamis. - Foto PDRM Kota Setar
A
A
A

POKOK SENA - Seorang lelaki berusia 48 tahun dikompaun RM4,000 kerana menganjurkan majlis perkahwinan anaknya di Kampung Padang, Mukim Gajah Mati di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pasukan pemantau Ops Covid-19 menerima aduan awam pada jam 12.45 tengah hari sebelum seorang pegawai dan lima anggota polis ke lokasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

Beliau berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati rumah tersebut sedang berlangsung jamuan makan sempena majlis perkahwinan salah seorang penghuni rumah berkenaan.

"Pasukan pemantau Ops Covid-19 mengesahkan aduan yang diterima apabila sebuah rumah kediaman di kampung itu sedang mengadakan majlis makan sempena majlis perkahwinan. Turut berada di majlis tersebut ialah beberapa penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Shukri berkata, pasukan pemantau Ops Covid-19 kemudian mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 ke atas tuan rumah selaku penganjur majlis tersebut.

Menurutnya, kompaun dikenakan kerana kesalahan di bawah Peraturan 4 Akta 342 Peraturan Peratutan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 1988.

Artikel Berkaitan: