Proklamasi darurat hendaklah dibahaskan di Parlimen: Majlis Peguam

Dewan Rakyat. - Foto Bernama
Dewan Rakyat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Peguam Malaysia pada Khamis berkata, Ordinan Darurat hendaklah dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Presidennya, AG Kalidas berkata, Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ‘Proklamasi carurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu...’

Beliau berkata, peranan Parlimen mendasari nilai-nilai yang diperlukan bagi fungsi demokrasi dan oleh itu, ia harus mematuhi standard integriti yang tinggi apabila melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh kabinet, ahli Parlimen dan Speaker Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan pembatalan Ordinan Darurat teratur: Pejabat Perdana Menteri

“Justeru adalah mustahak untuk kabinet menyalurkan maklumat tepat semasa sidang Parlimen bagi memastikan Parlimen dapat mengadakan perbahasan yang berkesan dan bermakna. Dalam apa keadaan sekalipun, Parlimen tidak boleh dikelirukan lebih-lebih lagi semasa pandemik global yang telah menjejaskan kehidupan semua orang di Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat, walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Kalidas berkata, Majlis Peguam berkongsi rasa amat dukacita Seri Paduka Baginda berhubung kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen semasa persidangan baru-baru ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: