Kes baharu, kematian terus catat rekod tertinggi di Thailand

Pada Khamis, kes Covid-19 Thailand mencatatkan satu lagi rekod tertinggi dengan 17,669 kes baharu dan 165 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
Pada Khamis, kes Covid-19 Thailand mencatatkan satu lagi rekod tertinggi dengan 17,669 kes baharu dan 165 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
A
A
A

BANGKOK - Thailand kini bergelut dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang semakin parah, menyaksikan peningkatan kes jangkitan dan kematian baharu hampir setiap hari.

Pada Khamis, kes Covid-19 Thailand mencatatkan satu lagi rekod tertinggi dengan 17,669 kes baharu dan 165 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 561,030 kes dan 4,562 kematian sejak Januari tahun lalu.

Namun, pihak berkuasa kesihatan memberi amaran kes boleh mencecah hingga 30,000, terutama ketika ramai yang tidak mematuhi langkah-langkah sekatan.

Pertubuhan bukan kerajaan Rural Doctor Society (RDS) menyatakan kadar jangkitan di Bangkok telah mencecah 19 peratus, menunjukkan wabak Covid-19 di bandar raya itu “sudah tidak terkawal”.

Pengarah Kumpulan Penyelidikan Inovasi dan Pengurusan Kesihatan Veterinar di Pusat Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi Nasional (BIOTEC) Dr Anan Jongkaewwattana berkata, keadaan Covid-19 di negara ini ‘amat membimbangkan’.

“Kita harus memantau kes di wilayah besar dan luar bandar. Disebabkan kapasiti penjagaan kesihatan di kawasan tersebut tidak tinggi, kes yang lebih teruk mungkin membawa lebih banyak kematian. Jika keadaan tidak dikawal, saya menjangkakan keadaan akan menjadi lebih parah tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurut Dr Anan, peningkatan kes terutama di Bangkok dan wilayah berdekatan berpunca daripada varian Delta, selain faktor kelewatan vaksinasi.

Beliau menyarankan pihak berkuasa kesihatan meningkatkan usaha pengesanan kes aktif dan mengasingkan individu yang dijangkiti secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Sekatan mungkin diperlukan tetapi mesti dilaksanakan dengan rancangan jelas mengenai pampasan kerana jika tidak mereka yang terjejas tidak akan bersedia bekerjasama,” tambahnya.

Gelombang ketiga pandemik, yang bermula dari pusat hiburan di Bangkok, telah mencatatkan 532,167 kes Covid-19 dan 4,468 kematian dalam tempoh tiga bulan sejak 1 April.

Terdapat laporan mengenai mayat empat lelaki gelandangan yang dibiarkan hampir 12 jam di tepi jalan, penduduk beratur panjang semalaman untuk mendapatkan saringan Covid-19 percuma, masalah kekurangan katil di hospital dan ramai pesakit dilaporkan meninggal dunia ketika menunggu bantuan rawatan tiba.

Foto pesakit yang terbaring di atas usungan di luar wad kecemasan Hospital Ban Paew di wilayah Samut Sakhon, menunggu mendapatkan katil sangat membimbangkan, seorang doktor mendakwa ramai yang meninggal dunia ketika menunggu.

Bagi mengatasi kekurangan katil hospital, pihak berkuasa melaksanakan pelbagai langkah, terutama di ibu negara termasuk mengangkut pesakit Covid-19 dengan gejala ringan dan sederhana di Bangkok pulang ke wilayah asal mereka untuk menerima rawatan di hospital wilayah.

Bangkok Metropolitan Authority (BMA) telah mengubah suai 15 gerabak kereta api yang tidak digunakan di depot penyelenggaraan Bang Sue Grand Station menjadi wad pengasingan dengan 240 katil untuk pesakit COVID-19 dengan gejala ringan dan sederhana sementara menunggu kekosongan di hospital.

Pada masa sama, untuk menampung pesakit Covid-19 yang tidak kritikal, pihak berkuasa mengubah bangunan terminal satelit di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan gudang kargo di Lapangan Terbang Don Mueang menjadi hospital medan, masing-masing dilengkapi 5,000 dan 1,800 katil.

Sehingga kini, sejumlah 185,976 pesakit masih dirawat di hospital dan hospital medan di seluruh negara termasuk 4,511 dalam keadaan kritikal dan 1,001 bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

Kerajaan terus berusaha mempercepat kempen vaksinasi dan setakat ini lebih 16.5 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sejak 28 Februari.

Namun, pemberian vaksin yang perlahan menambahkan kekecewaan rakyat dan menyalahkan kerajaan kerana gagal menguruskan pandemik Covid-19.

Thailand bergantung pada vaksin Sinovac (vaksin virus tidak aktif) dan vaksin AstraZeneca (vektor virus), yang diberi secara percuma. Sementara vaksin Sinopharm (vaksin virus tidak aktif) yang dilancarkan pada akhir Jun, dijual dengan harga 888 baht (AS$27) untuk setiap dos.

Sehingga kini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA) telah meluluskan enam vaksin Covid-19, iaitu Sinovac, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Sinopharm, dan vaksin m-RNA Moderna dan Pfizer-BioNTech.

Namun, disebabkan orang ramai ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin virus tidak aktif terhadap varian Delta, terdapat pertambahan permintaan untuk vaksin mRNA.

Tinjauan oleh firma YouGov menunjukkan kini semakin ramai rakyat Thailand tidak yakin untuk mendapatkan vaksin.

Pada Januari, tinjauan menunjukkan 83 peratus penduduk Thailand bersedia divaksinasi, namun merosot kepada 70 peratus pada 4 Julai - lebih rendah dari Singapura (91 peratus), Malaysia (90 peratus) dan Filipina (82 peratus).

Thailand merancang untuk membuka kembali pintunya kepada pengunjung yang lengkap divaksin pada pertengahan Oktober, seperti diumumkan Perdana Menteri Prayuth Chan-Ocha bulan lalu.

Namun, rancangan itu masih belum dapat dipastikan sama ada ia akan diteruskan atau tidak berikutan peningkatan jumlah kes. - Bernama