AMK Perak lapor polis desak Muhyiddin, kabinetnya letak jawatan

Muhammad Sheith bersama barisan pimpinan AMK Perak menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Ipoh pada Khamis.
Muhammad Sheith bersama barisan pimpinan AMK Perak menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota kabinet beliau meletakkan jawatan.

Naib Ketua AMK negeri, Muhammad Sheith Abdul Haris berkata, desakan itu perlu berikutan kegagalan Muhyiddin mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membahaskan Ordinan Darurat di dalam Sidang Khas Parlimen.

Menurutnya, desakan sama turut diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang disifatkan telah mencabuli Perlembagaan negara dengan mendahului baginda apabila mengumumkan Ordinan Darurat telah terbatal pada 21 Julai 2021.

"Berhubung kenyataan media Istana Negara bertarikh 29 Julai 2021, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita berkenaan pembatalan Ordinan Darurat yang tidak melalui proses Perlembagaan dengan betul dan tanpa perkenan Seri Paduka Baginda.

"Dalam kenyataan itu juga dengan jelas menyebut nama Datuk Seri Takiyuddin selaku Menteri Undang-undang yang mengelirukan Dewan dan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Ini amat serius dan boleh membawa kepada krisis perundangan serta krisis Perlembagaan negara.

"Lebih penting keadaan yang berlaku ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menghormati Institusi Diraja dan mereka perlu meletak jawatan," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dekat sini pada Khamis.

Muhammad Sheith berkata, AMK Perak menjunjung setinggi-tinggi titah Yang di-Pertuan Agong berkenaan pembatalan Ordinan Darurat dan merungkai persoalan dan kekeliruan rakyat jelata.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan berdiri teguh bersama Seri Paduka Baginda dalam memastikan kedaulatan dan Perlembagaan negara terpelihara dan terjaga.

"Patik sekalian hamba rakyat menzahirkan kesyukuran ke bawah duli baginda yang bertakhta sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan menzahirkan taat setia kepada Institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kemakmuran dan kestabilan negara," katanya.