JPN Selangor nafi tidak ambil tindakan terhadap kebun durian haram

Kenyataan JPN Selangor pada Khamis.
Kenyataan JPN Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Selangor menafikan laporan sebuah akhbar tempatan bahawa tiada sebarang tindakan diambil terhadap kebun durian haram yang wujud di Hutan Simpan Bukit Cherakah di sini.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid sebaliknya berkata, pasukan penguat kuasa JPN Selangor telah membuat semakan di kawasan yang didakwa dengan menandakan sempadan yang diceroboh.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat bancian serta menyita pokok-pokok durian yang ditanam secara haram di kawasan hutan simpan berkenaan termasuk bangunan di kawasan terbabit.

"Kita turut mengeluarkan Notis Arahan dan Memusnahkan Tanaman, Mengosong dan Meruntuhkan Binaan Bangunan di kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah kompartmen 14 pada 12 Julai lalu.

"Kita juga telah membuat tindakan susulan pada 16 Julai dan mendapati sebahagian pokok yang disita dialihkan serta dimusnahkan, manakala sebahagian struktur binaan bangunan juga telah dibuka oleh penceroboh.

"Pihak penceroboh juga telah diberi tempoh selama dua minggu dari tarikh notis dikeluarkan untuk melaksanakan arahan seperti yang tertera di dalam notis arahan yang dikeluarkan dan akan berakhir pada 26 Julai 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia pada Rabu berhubung dakwaan terdapat kebun durian haram di Hutan Simpan Bukit Cherakah di sini.

Berdasarkan aduan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan laporan media itu, pengadu menyatakan bahawa tiada tindakan yang diambil oleh JPN Selangor untuk menangani isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Fadzil berkata, pada tarikh laporan itu disiarkan, pasukan penguat kuasa JPN Selangor telah membuat semakan sekali lagi selepas dua hari tamat tempoh notis arahan dikeluarkan.

Menurutnya, pihaknya mendapati masih terdapat saki baki pokok yang dianggarkan berjumlah 89 batang daripada pelbagai spesies belum dialihkan atau dimusnahkan di kawasan berkenaan.

"Sehubungan itu, satu operasi memusnahkan dan mencabut pokok tanaman dilakukan pada hari sama. Laporan telah dibuat di balai polis berhampiran bagi tujuan jaminan keselamatan pasukan penguat kuasa.

"Selain itu, JPN Selangor sentiasa melaksanakan operasi bersepadu dan membuat rondaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac laku bagi mengekang sebarang aktiviti menyalahi Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Beliau berkata, pesalah atau penceroboh yang ditangkap akan dibawa ke muka pengadilan untuk pertuduhan mengikut peruntukan perundangan sedia ada.