Hup Wei, Azreen Nabila diharap lepasi pusingan pertama

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

KEM olahraga negara menaruh harapan agar jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei dan pelari pecut, Azreen Nabila Alias berjaya melepasi cabaran pusingan pertama menjelang acara trek dan padang di Sukan Olimpik Tokyo yang akan membuka tirai pada Jumaat.

Pengurus pasukan, S Govindarajoo berkata, dengan tahap pertandingan yang tinggi berlangsung di Stadium Olimpik, atlet Malaysia diharap dapat memberikan yang terbaik dalam acara masing-masing.

Beliau berkata, bagi Hup Wei, yang membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik selepas Beijing 2008 dan London 2021, peluang untuk atlet berusia 34 tahun itu melepasi pusingan kelayakan adalah lebih tinggi.

“Hanya 12 atlet terbaik (daripada 33) akan layak ke final. Lompat tinggi adalah acara teknikal, macam-mcam boleh berlaku terutamanya ketika kebanyakan atlet bertanding kekurangan kejohanan berikutan pandemik Covid-19.

“Dengan ranking ke-24 dunia dan menamatkan saingan di kedudukan kesembilan pada Kejohanan Dunia 2019, dia mungkin mencipta kejutan layak ke final,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Azreen Nabila, 21, yang akan beraksi pada pusingan kelayakan acara 100 meter (m) kategori wanita, perlu menamatkan saingan dalam kedudukan tiga teratas untuk mendapatkan slot kelayakan secara automatik ke pusingan pertama.

“Dia masih muda dan pertama kali beraksi di pentas Olimpik atau mana-mana kejohanan peringkat dunia. Kami harap dia mampu layak ke pusingan pertama. Hup Wei dan Azreen telah melengkapkan latihan ringan setiap hari di venue sejak Isnin dan telah bersedia untuk pertandingan esok,” katanya.

Azreen Nabila, yang mempunyai catatan peribadi terbaik 11.92 saat (s) meraih tiket wild card untuk beraksi buat kali pertama di temasya Sukan Olimpik.

Artikel Berkaitan:

Pusingan kelayakan (saringan 2) 100m wanita dijadual pada 9.07 pagi waktu tempatan (8.07 pagi waktu Malaysia) manakala kelayakan acara Lompat Tinggi bagi Kumpulan A dijadual pada jam 9.15 pagi waktu tempatan (8.15 pagi waktu Malaysia).

Acara trek dan padang kali ini sedikit suram tanpa kehadiran pemenang pingat emas Olimpik lapan kali dan ikon pecut dunia Usain Bolt dari Jamaica yang telah bersara pada 2017. - Bernama