Empat pilihan tindakan seterusnya boleh dibuat: Penganalisis

Mohammad Agus Yusoff
Mohammad Agus Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Terdapat empat pilihan tindakan seterusnya boleh dilakukan berikutan pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan kerajaan sebelum ini belum mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, empat pilihan itu ialah semua menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletakkan jawatan; membubarkan Dewan Rakyat; Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu selepas pembangkang berjaya meyakinkan Seri Paduka Baginda mempunyai majoriti; atau Seri Paduka Baginda mengisytiharkan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Mohammad Agus berkata, beliau tidak menyangka krisis perlembagaan berlaku lagi pada Khamis selepas 28 tahun berlalu.

“Saya pernah melalui dua krisis perlembagaan melibatkan Raja-raja Melayu. Pertama, tahun 1983 dan kedua pada tahun 1993,” katanya menerusi Facebook beliau pada Khamis.

Mohammad Agus berkata, krisis perlembagaan pada tahun 1983 adalah berkaitan pindaan Perkara 66 mengenai perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri ke atas undang-undang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi Perlembagaan Persekutuan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Perlembagaan Negeri.

“Perkara 150 pula berkaitan dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

“Krisis perlembagaan pada tahun 1993 pula berkaitan pindaan Perkara 181 untuk menghapuskan imuniti raja-raja. Sebelum pindaan dibuat, raja yang melakukan kesalahan jenayah tidak boleh didakwa melainkan jika secara sukarela menyerahkan imuniti undang-undangnya.

“Namun, selepas pindaan Perkara 181 itu, raja-raja boleh didakwa di mahkamah khas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berbeza dengan krisis perlembagaan sebelum ini, krisis pada kali ini adalah kerana kerajaan PN mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sepertimana peruntukan Perkara 150 (3).

“Begitu nekad kerajaan PN mengumumkan pembatalan ordinan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong. Untuk apa dibuat pengumuman tanpa mengikut prosedur perlembagaan yang betul?

“Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mendokong keluhuran undang-undang dan berintegriti,” ujar beliau.

Menurutnya, kesalahan jelas menerusi pengumuman itu ialah kerajaan telah melakukan pembohongan besar dan mengetepikan prinsip perlembagaan serta tidak menghormati Institusi diraja.

Katanya, salah laku seperti itu mempunyai kesan undang-undang dan ada yang mentafsirkannya sebagai kesalahan boleh disiasat sekurang-kurangnya di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana merosakkan demokrasi.

Sementara itu, beliau berpendapat darurat yang bertujuan untuk mengatasi pandemik Covid-19 gagal.

“Rakyat kecewa dengan cara pengurusan Covid-19. Rakyat bertanya sampai bila tidak bekerja, berapa lama lagi harus duduk di rumah, bagaimana nasib hidup mereka seterusnya, berapa lama lagi masa untuk mengurangkan kes yang meningkat ini?

“Saya tidak nampak kerajaan PN ada upaya untuk menjawab positif pertanyaan rakyat di atas,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berharap krisis perlembagaan itu berakhir dan negara mempunyai kepimpinan baharu yang lebih berwibawa dan tidak lagi berdiri atas ‘scheme of things’ pada minggu hadapan.