Perdana Menteri perlu berundur secara terhormat: Najib

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur secara terhormat kerana mendatangkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu Ordinan Darurat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, itu merupakan pilihan yang terbaik yang perlu dilakukan Muhyiddin untuk mencerminkan beliau bertanggungjawab mengenai tindakan yang dilakukan atas nama kerajaannya.

"Saya secara peribadi berpendapat bahawa Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku sebagai ketua kerajaan.

"Saya nyatakan pendirian ini untuk kepentingan negara. Kita tak mahu pentadbiran terganggu. Ia mesti berjalan lancar demi kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sidang khas Dewan Rakyat pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lepas tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

Najib menegaskan, situasi yang berlaku ketika ini menunjukkan percanggahan begitu genting dan serius antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

"Ramai rakyat yang menderita ketika ini. Jadi kita perlukan pentadbiran yang lancar.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga untuk menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang semakin meruncing," katanya.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri merupakan urusan antara Muhyiddin dan Seri Paduka Baginda.

"Selepas itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menamakan Perdana Menteri lain yang pada pendapat Seri Paduka Baginda calon itu boleh dapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen. Itu peruntukan dalam Perlembagaan," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, seiring dengan pendirian partinya iaitu UMNO, beliau masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi tidak menyokong Perdana Menteri.