X

Kindly register in order to view this article
!

Johor umum peruntukan tambahan RM50,000 kepada ADUN, JPKD

Hasni
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor mengumumkan peruntukan tambahan dengan kos keseluruhan RM4.15 juta bagi melancarkan usaha pemberian bantuan kepada rakyat yang memerlukan susulan pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri semalam (Rabu) bersetuju untuk memberikan peruntukan itu kepada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 27 Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) sebagai tambahan kepada pelbagai usaha dan inisiatif khususnya Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Sebelum ini, dalam PRE Ihsan Johor 1.0 kerajaan negeri Johor memberikan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada semua 56 ADUN.

"Dalam Belanjawan Johor 2021, kerajaan negeri turut menaikkan jumlah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM50,000 kepada RM150,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasni berkata, menyedari lebih ramai rakyat terkesan perlu dibantu, menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 lepas, kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada semua ADUN dan JPKD.

“Kerajaan negeri Johor amat memahami keluh-kesah rakyat yang terjejas ekoran sekatan pergerakan akibat Covid-19. Saya berharap dengan peruntukan tambahan ini, semua wakil rakyat dan JPKD dapat memberikan bantuan kepada lebih ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang masih membelenggu kita hingga kini,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!