X

Kindly register in order to view this article
!

AMK lapor polis isu pemimpin PN tidak hormat titah Agong

Thiban (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Dang Wangi di sini pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis berkaitan isu pemimpin kerajaan Perikatan Nasional yang didakwa tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Naib Ketua AMK, Thiban Subramaniam membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 4.30 petang.

Thiban berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun disyaki telah melakukan sesuatu yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Saya percaya tindakan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong ini merupakan satu perbuatan tidak menghormati terhadap institusi diraja, pecah amanah dan jenayah yang bercanggah dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi pada Khamis.

Beliau berkata, AMK membuat laporan itu agar satu siasatan dijalankan terhadap Takiyuddin, Muhyiddin dan Idrus.

"Seluruh kabinet dilihat gagal mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, oleh itu AMK turut mendesak mereka (kabinet) meletakkan jawatan dengan segera," katanya.

Pada Isnin, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin dilaporkan memaklumkan kerajaan juga memutuskan perkara itu berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha menbendung penularan Covid-19.

Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.

Sebilangan anggota ahli Parlimen pembangkang mengatakan peraturan darurat harus dibatalkan melalui Parlimen sebagaimana yang dikehendaki oleh Fasal 150 (3).

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong dukacita kenyataan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!