X

Kindly register in order to view this article
!

19 lokaliti di enam negeri dikenakan PKPD mulai Sabtu

PKPD Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 19 lokaliti di Sabah, Kelantan, Perak, Pahang, Terengganu dan Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini hingga 13 Ogos.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia membabitkan lapan lokaliti di Sabah, Kelantan (dua), Perak (empat), Pahang (tiga) manakala masing-masing satu lokaliti di Terengganu dan Kedah.

“Di Sabah membabitkan Kampung Lembah Permai dan Kampung Pugi Gunsapou di Ranau, Kampung Bayangan dan Kampung Purakagis di Keningau, Kampung Marintaman di Sipitang, Kampung Gambaron 2 dan Kampung Tembidong-Bidong di Telupid dan Kampung Airport Lama di Tawau.

“Di Kelantan melibatkan Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang di Pasir Mas dan Kampung Wek Batu 23, Labok di Machang. Terengganu melibatkan Kampung Padang Kubu, Mukim Tebak di Kemaman manakala di Pahang melibatkan Pangsapuri Amber Court dan Tapak Bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands di Bentong serta Felda Sungai Koyan 3, Mukim Ulu Jelai di Lipis,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD pada Khamis.

PKPD di Perak pula melibatkan empat lokaliti dalam daerah Perak Tengah iaitu Kampung Biak Hilir di Mukim Bandar serta Kampung Biak Darat, Kampung Biak Baroh dan sebahagian Kampung Pasir Salak di Mukim Pasir Salak.

Hishammuddin berkata, PKPD di Kedah pula melibatkan Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di Baling.

Beliau juga berkata, sebanyak 63 premis merangkumi lima kilang, premis perniagaan (55) dan tapak pembinaan (tiga) diarah tutup serta-merta semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Semalam (Rabu) juga, 316 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 296 individu dikompaun manakala 20 lagi direman.

“Seramai enam pendatang tanpa izin turut ditahan manakala sebuah kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!