Orang ramai dinasihat terus patuh SOP

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta masyarakat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, usaha dan kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mencapai matlamat tersebut.

"PDRM ingin mengingatkan masyarakat bahawa SOP MKN mengenai pergerakan dan larangan penganjuran apa-apa aktiviti sosial masih berkuatkuasa di negeri-negeri di bawah PPN fasa 1 dan fasa 2 yang mana antaranya adalah tiada rentas sempadan negeri dan daerah, kecuali bagi tujuan-tujuan yang dibenarkan.

"Hanya dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediamannya," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan dan kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediamannya atau ke tempat paling hampir dengan kediamannya sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius 10 kilometer dari kediaman mereka.

"Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau sistem khidmat pesanan ringkas (sms).

"Apa-apa aktiviti sosial yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan adalah tidak dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, dalam peranan mendukung hasrat kerajaan bagi memerangi wabak Vovid-19, pihaknya akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP demi keselamatan kesihatan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan, akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.