Tindakan pembatalan Ordinan Darurat teratur: Pejabat Perdana Menteri

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua tindakan yang diambil kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataannya berkata, ia selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan," katanya pada Khamis.


Berikut adalah kenyataan penuh Pejabat Perdana Menteri:


Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini, kerajaan ingin menjunjung kasih di atas titah penghargaan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada kerajaan kerana telah melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula pada 26 Julai 2021.

Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin.

Berdasarkan titah pandangan ini, kerajaan telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021.

Sebagai persediaan Mesyuarat Khas Parlimen ini, Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021 telah mengadakan perbincangan yang teliti dan mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut:

Artikel Berkaitan:

Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong;

Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021; dan

Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang diPertuan Agong bagi membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Susulan ketetapan-ketetapan ini, Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai 2021 telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri
Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri

Pada 23 Julai 2021, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.

Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 40 (1) memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Susulan itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021, telah menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan insyaALLAH isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

Pejabat Perdana Menteri

Putrajaya

29 Julai 2021