X

Kindly register in order to view this article
!

Doktor sambut kelahiran bayi dalam bot

Pegawai perubatan Dr Dunstan Empawi dari Klinik Kesihatan Punan Ba di Ulu Merit mendukung bayi perempuan seberat 2.05 kilogram yang berjaya disambut kelahirannya di dalam sebuah bot ekspres ketika dalam perjalanan ke Hospital Kapit. - Foto Bernama
A
A

KAPIT - Seorang pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Punan Ba di Ulu Merit, di sini berjaya menyambut kelahiran seorang bayi perempuan seberat 2.05 kilogram ketika dalam perjalanan ke Hospital Kapit dengan menaiki bot ekspres pagi Khamis.

Dr Dustan Empawi yang baru tiga bulan bertugas di klinik kesihatan tersebut berkata, ia merupakan pengalaman pertama beliau menyambut kelahiran bayi dan mujur ditemani seorang Jururawat Masyarakat ketika mengiringi ibu bayi berkenaan ke Kapit, yang terletak 60km dari klinik itu.

Beliau berkata ibu berusia 29 tahun yang hamil 35 minggu itu kesakitan perut selepas menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Punan Ba, kira-kira 8 pagi.

"Saya terus merujuk ke Hospital Kapit kerana ibu tersebut dalam fasa kelahiran. Ibu itu telah dirujuk kepada doktor pakar obstetrik dan kecemasan memandangkan bayi dalam kandungannya peringkat pramatang," katanya yang dihubungi pemberita pada Khamis.

Wanita dari Rumah Asing, Belaga itu melahirkan anak ketiganya ketika bot ekspres berkenaan sedang melalui Wong Pelagus, jeram berbahaya di Sarawak yang telah meragut banyak nyawa pada masa lepas.

"Dalam perjalanan, ibu itu mengadu kesakitan dan ingin meneran. Kebetulan kami juga melalui Wong Pelagus. Kami bertindak pantas dan selamat menyambut kelahiran bayi perempuan seberat 2.05 kilogram pada 11.50 pagi,” katanya.

Menurut Dr Dustan, apabila di Kapit, ibu dan bayi itu kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kapit untuk rawatan susulan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!